DUNIA

Arkitek terkemuka Frank Gehry, pereka Muzium Guggenheim Sepanyol, meninggal dunia

Bernama 06/12/2025 | 10:51 MYT
Gehry menjadi antara tokoh seni bina paling berpengaruh pada zamannya, terkenal dengan reka bentuk Muzium Guggenheim Bilbao. - Reuters
BERKELEY (Amerika Syarikat): Arkitek tersohor Frank Gehry meninggal dunia di rumahnya di Santa Monica selepas mengalami penyakit pernafasan singkat, menurut Ketua Staf Gehry Partners, Meaghan Lloyd, kepada Agensi Berita Jerman (dpa). Beliau berusia 96 tahun.

Dilahirkan di Toronto pada 1929 kepada keluarga pendatang Poland-Yahudi, Gehry menjadi antara tokoh seni bina paling berpengaruh pada zamannya, terkenal dengan reka bentuk Muzium Guggenheim Bilbao dan Dewan Konsert Walt Disney di Los Angeles, bandar yang didiaminya sejak remaja.

Ketika bekerja sebagai pemandu lori pada waktu siang, beliau mengambil kelas malam, dan minatnya dalam seni bina dikesan oleh seorang guru yang menggalakkannya menceburi bidang berkenaan.

Gehry kemudian menubuhkan studio seni bina pertamanya di Los Angeles.

Hasil karyanya turut merangkumi Galeri Seni Ontario di Toronto, Yayasan Louis Vuitton di Paris dan Memorial Dwight D. Eisenhower di Washington. Gehry juga mereka bentuk bangunan kediaman di Prague, New York dan pelbagai bandar lain.

Beliau terus bekerja dan menghasilkan idea serta reka bentuk sehingga ke akhir hayatnya.

-- BERNAMA

#arkitek #seni bina #Frank Gehry #meninggal dunia