[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
DUNIA

Armada Global Sumud Flotilla ke Gaza hampiri zon kritikal

Astro Awani 23/09/2025 | 20:15 MYT
Menurut Zulfadhli, armada flotila yang disertai lebih 50 kapal pelbagai saiz dijangka akan bertemu dengan kumpulan terakhir yang bergerak dari Greece dalam tempoh 24 jam. - Foto MAPIM
MEMASUKI hari ke-24 pelayaran, armada Global Sumud Flotilla kini berada dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya apabila semakin menghampiri zon kritikal di perairan antara Greece dan Libya.


Ringkasan AI
  • Pelayaran Hampiri Zon Kritikal: Armada lebih 50 kapal kini berada di perairan antara Greece dan Libya, bersiap siaga menghadapi kemungkinan ancaman.
  • Harmoni Dalam Kepelbagaian: Wakil Malaysia, Zulfadhli Khiruddin, berkongsi suasana saling menghormati di atas kapal bersama aktivis pelbagai latar.
  • Misi Kemanusiaan ke Gaza: Flotila menuju Gaza dengan harapan memecah kepungan, menyeru sokongan dan keprihatinan masyarakat terhadap nasib rakyat Palestin.


Aktivis Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Zulfadhli Khiruddin, memaklumkan bahawa pasukan flotila yang disertai lebih 50 kapal pelbagai saiz sedang bersiap untuk bertemu kumpulan terakhir dari Greece dalam tempoh 24 jam.

“Kami memulakan pelayaran dari Barcelona, singgah di Tunis, dan kini meneruskan perjalanan menuju Gaza, insya-Allah.

"Setiap hari kami berada dalam keadaan ‘high alert’ dan menjalani latihan berkala bagi menghadapi sebarang kemungkinan pemintasan oleh pihak Zionis,” katanya.

Zulfadhli, salah seorang daripada 15 wakil Malaysia dalam misi kemanusiaan ini, turut berkongsi pengalaman berada di atas kapal yang majoritinya dihuni aktivis bukan Islam.

Menurutnya, perbezaan latar belakang tidak menjadi penghalang untuk menjalani rutin harian secara harmoni.

“Kami hanya makan sekadar perlu, dan kebanyakannya makanan vegetarian. Suasana di sini sangat saling menghormati,” jelasnya dalam satu hantaran video pada Selasa.

Beliau turut menekankan bahawa cabaran yang dihadapi sepanjang pelayaran tidak seberat penderitaan rakyat Gaza yang kini berdepan krisis kemanusiaan yang jauh lebih getir.

“Kami mohon sokongan dan doa agar misi memecah kepungan Gaza berjaya. Paling penting, masyarakat perlu ambil peduli tentang nasib saudara kita di sana,” katanya.

#Gaza #Global Sumud Flotilla #Zulfadhli Khiruddin #MAPIM