MISI Artemis II yang dikendalikan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) mencatat rekod baharu itu pada Isnin, jam 15:58 GMT, apabila kapal angkasa Orion membawa kru melepasi jarak tersebut.
Rekod terdahulu telah dicatatkan oleh Apollo 13 pada April 1970.
Advertisement
Misi berkenaan yang sedang mengelilingi bahagian belakang bulan dijadualkan mencapai jarak maksimum kira-kira 406,788 kilometer dari Bumi pada jam 23:07 GMT.
Dalam misi lintasan terbang (flyby) mengelilingi bulan itu, kru Artemis II akan meluangkan lebih enam jam menganalisis dan mendokumentasikan ciri-ciri permukaan bulan.
Kapsul Orion kemudiannya akan berpatah balik ke Bumi menggunakan trajektori “free-return”, iaitu laluan pulang yang mengambil masa kira-kira empat hari.
Hari bersejarah itu dimulakan dengan satu mesej khas daripada mendiang Jim Lovell, angkasawan legenda yang terlibat dalam misi Apollo 8 dan Apollo 13, dan merakam mesej berkenaan tidak lama sebelum kematiannya.
“Ia adalah hari yang bersejarah, dan saya tahu anda semua sangat sibuk, tetapi jangan lupa menikmati pemandangannya,” kata Lovell.
“Selamat datang ke kawasan kejiranan lama saya. Saya berbangga untuk menyerahkan obor ini kepada anda ketika anda mengelilingi bulan.”
Ketika mengelilingi bahagian belakang bulan, para angkasawan berpeluang menyaksikan kawasan bulan yang sebelum ini tersembunyi daripada pandangan.
Salah satu imej yang dihantar semula oleh kru menunjukkan Lembangan Orientale, sebuah kawah gergasi yang sebelum ini hanya dapat dilihat melalui kamera orbit dalam misi tanpa kru.
Walaupun teknologi telah berkembang pesat sejak era Apollo, NASA masih bergantung kepada pemerhatian visual angkasawan untuk memahami bulan dengan lebih mendalam.
“Mata manusia pada asasnya adalah kamera terbaik yang pernah atau akan wujud,” kata Kelsey Young, saintis utama misi Artemis II, kepada agensi berita AFP. “Jumlah reseptor dalam mata manusia jauh mengatasi apa yang mampu dilakukan oleh kamera.”
Catatan saintifik masa nyata
Pasukan yang terdiri daripada puluhan saintis bulan yang ditempatkan di Bilik Penilaian Sains di Pusat Angkasa Johnson NASA di Houston, Texas, akan mencatat pemerhatian ketika para angkasawan - yang telah mempelajari pelbagai fenomena bulan sebagai sebahagian daripada latihan misi - menerangkan pemandangan mereka secara langsung.
Menambahkan lagi nilai bersejarah misi ini, kru Artemis II yang diketuai oleh komander Reid Wiseman turut mencatat beberapa pencapaian pertama.
Victor Glover menjadi individu berkulit berwarna pertama yang terbang mengelilingi bulan, Christina Koch menjadi wanita pertama, manakala Jeremy Hansen dari Kanada ialah bukan warga Amerika pertama dalam misi tersebut.
Sepanjang kira-kira 40 minit semasa lintasan terbang itu, semua komunikasi dengan Artemis II akan terputus apabila kapal angkasa melintasi bahagian belakang bulan.
Bulan akan kelihatan kepada angkasawan “lebih kurang sebesar bola keranjang yang dipegang pada jarak lengan,” kata Noah Petro, ketua makmal geologi planet NASA, kepada AFP.
Walaupun kru Orion masih berada agak jauh dari bulan, lintasan terbang ini penting bagi persiapan misi seterusnya seperti Artemis III pada 2027 dan pendaratan di bulan menerusi misi Artemis IV pada 2028, kata Pentadbir NASA, Jared Isaacman, kepada CNN pada Ahad. - Agensi