Artis jalanan hasilkan karya desak tamat konflik di Gaza

Astro Awani
Februari 9, 2024 03:20 MYT
Seorang kanak-kanak dilihat memeluk patung 'Children of Peace' yang dihasilkan Colomina. - Foto REUTERS
BARCELONA: Sebuah karya seni mendesak proses keamanan di Gaza serta menamatkan konflik Israel dan Hamas dihasilkan artis jalanan Perancis, James Colomina di bandar Ramblas, Barcelona.
Diberi nama 'Children of Peace', ia menampilkan patung yang dicat sepenuhnya dengan warna merah terang.
Colomina berkata, ia memperlihatkan dua kanak-kanak, masing-masing memakai tutup kepala Yahudi dan Palestin sambil berpegangan tangan.
Seorang pesara, Renee Sanchez, berkata, falsafah di sebalik karya seni itu adalah terjemahan apa yang dimahukan setiap orang di mana mereka perlu dibiarkan menjalani kehidupan masing-masing.
Selebihnya, tambah Sanchez, dalam hidup, begitu banyak kebencian perlu dilupakan sama sekali.
Begitu juga dengan seorang lagi pencinta seni yang melihat karya itu "bercakap" bagi pihak kanak-kanak di Palestin yang mahu membesar dalam keamanan.
Dalam pada itu, Colomina turut berkongsi sebab Barcelona dipilih sebagai lokasi persembahan seninya.
Katanya, Barcelona merupakan sebuah "bandar di mana seni jalanan bersinar ke seluruh dunia".
Patung itu bagaimanapun telah dibawa keluar pekerja pembinaan kira-kira empat jam selepas dipamerkan.
#Children of Peace #Gaza #Israel #hasil karya