DUNIA

ASEAN, China adakan rundingan COC di Cebu - Jurucakap ASEAN Filipina

Bernama 27/01/2026 | 21:00 MYT
Rundingan yang bakal diadakan itu sebagai petanda terdapat 'pergerakan' atau perkembangan dalam rundingan COC berkenaan.
ASEAN dan China akan mengadakan rundingan mengenai Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan di sini, sekali gus memberi isyarat satu lagi langkah penting ke arah memuktamadkan perjanjian itu pada tahun ini.

Jurucakap Filipina bagi Hal Ehwal ASEAN, Dominic Xavier M. Imperial mengesahkan bahawa rundingan itu akan berlangsung di Cebu, namun tidak mendedahkan lokasi atau tarikh khusus dengan menyatakan butiran mesyuarat berkenaan adalah sulit.

Beliau menyifatkan rundingan yang bakal diadakan itu sebagai petanda terdapat 'pergerakan' atau perkembangan dalam rundingan COC berkenaan.

"Kami ingin menegaskan bahawa Filipina, selaku Pengerusi ASEAN, sedang memudahkan kemajuan perbincangan ini dengan menggalakkan lebih banyak mesyuarat diadakan supaya kita sekurang-kurangnya dapat berusaha untuk memuktamadkan rundingan dalam tempoh yang ditetapkan," katanya dalam satu taklimat media, di sini, pada Selasa.

Media tempatan melaporkan, rundingan itu akan diadakan pada 30 Jan, sehari selepas Mesyuarat Permukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) di Cebu City.

Apabila ditanya mengenai jangkaan bagi rundingan akan datang itu, Imperial berkata, adalah sukar untuk meramalkan hasilnya, namun menekankan kepentingan bagi semua pihak untuk duduk bersama dan berunding.

Beliau berkata, kekerapan mesyuarat yang diadakan adalah signifikan kerana ia menunjukkan kemajuan dalam rundingan berkenaan.

Minggu lepas, Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, rundingan COC telah menunjukkan kemajuan ketara dengan hampir 70 peratus kandungan telah dipersetujui, namun perbincangan teliti masih diperlukan bagi memastikan kedaulatan negara tidak dikompromi.

Mohamad berkata, tuntutan bertindih perlu diselesaikan melalui rundingan dua hala atau pelbagai hala, manakala COC berfungsi untuk menetapkan prinsip tingkah laku dan langkah membina keyakinan bagi mengelakkan ketegangan di kawasan berkenaan.

-- BERNAMA



#rundingan #CoC #ASEAN #China #Filipina #Cebu