ASEAN Culture House komitmen Korea Selatan terus dekati Asia Tenggara

Madiha Abdullah
Oktober 21, 2019 02:43 MYT
ASEAN Culture House (ACH) dijadikan sebagai hab informasi dan rujukan bagi warga Korea Selatan. - Facebook
Bercakap tentang Korea atau Korea Selatan khususnya, ia bukan topik asing dalam kalangan masyarakat di Malaysia dan negara-negara Asia Tenggara.
Banyak yang kita ketahui tentang mereka, baik dari segi budaya, pop culture dan bahasa yang banyak dipertontonkan melalui drama, filem dan juga lagu.
Tetapi bagaimana pula penerimaan warga Korea Selatan terhadap budaya kita, terutamanya dalam kalangan masyarakat di Asia Tenggara?
Itulah matlamat penubuhan ASEAN Culture House (ACH) iaitu sebagai hab informasi dan rujukan masyarakat Korea Selatan tentang Asia Tenggara.
Dengan visi menjadikannya platform antarabangsa untuk Korea Selatan dan ASEAN, ia simbol signifikan ke arah hubungan lebih erat dua wilayah ini.
Dibina di Haeundae-gu, Busan, kira-kira 300 kilometer dari Seoul, inisiatif pembinaan ACH bermula selepas Sidang Kemuncak ASEAN-ROK 2014, dan siap dibina pada September 2017.
Bangunan dua tingkat seluas 6,524 meter persegi itu mempunyai dewan pameran, bilik VR, bilik seminar dan dewan konsert.
Bukan sahaja pameran, ACH juga turut bekerjasama dengan pihak kedutaan dan kementerian dari 10 negara Asia Tenggara untuk menganjurkan pelbagai acara, antaranya tayangan filem, pesta kebudayaan, kelas memasak dan kelas bahasa.
"Sebelum kewujudan rumah ini, pengetahuan rakyat Korea berkenaan Asia Tenggara tidak begitu mendalam. Mereka tidak tahu adanya sebuah badan bernama ASEAN yang menggabungkan 10 negara Asia Tenggara.
"Tetapi rakyat Korea suka berkunjung ke Asia Tenggara. Malah pada 2018, jumlah warga Korea yang melawat Asia Tenggara ialah kira-kira 8.9 juta.
"Selepas dua tahun, saya dapat rasakan masyarakat di Korea lebih faham mengapa ASEAN penting kepada kita. Daripada maklum balas, pengunjung berpuas hati dengan apa yang ada di sini.
"Kami akan memperbanyakkan lagi aktiviti dan terus membantu rakyat Korea mengenali Asia Tenggara," kata Ketua Pengarah ACH, Ham Seunghoon.
Menurut Ham Seunghoon, sepanjang dua tahun penubuhannya, ACH mencatat jumlah pengunjung membanggakan dengan kira-kira 60,000 pelawat setiap tahun.
Tambahnya, kewujudan ACH diharapkan akan terus menjadi jambatan utama dalam mengukuhkan hubungan Korea dan ASEAN, bersesuaian dengan Dasar Selatan Baharu yang berteraskan empati dan pembinaan komuniti yang meletakkan kepentingan hubungan antara manusia.
#ACH #ASEAN #ASEAN Culture House #Asia Tenggara #Dasar Selatan Baharu #Ham Seunghoon #kerajaan #Korea Selatan #Sidang Kemuncak ASEAN-ROK