[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
DUNIA

ASEAN mahu tumpu lebih banyak pendaftaran GI bagi tampilkan identiti budaya anggota

Bernama 24/09/2025 | 13:15 MYT
Liew pada konsultasi Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) bersama Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO) hari ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: ASEAN menyasarkan untuk memperluas kerjasama dalam pembangunan harta intelek (IP) serantau dengan tumpuan pada peningkatan pendaftaran Petunjuk Geografi (GI) yang menampilkan identiti budaya anggota sebagai sebahagian daripada visi jangka panjang.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata perkara itu antara isu yang dibangkitkan dalam konsultasi Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) bersama Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO) hari ini.

"Isu yang dibincangkan ialah langkah untuk bekerjasama dan mewujudkan suasana apabila ASEAN bukan sahaja mendaftar lebih banyak GI dan IP untuk inovasi kita, malah visinya ialah suatu hari nanti mungkin ASEAN ada lebih banyak pengenalan budaya.

"Contohnya, nama Musang King atau Sarawak Pepper, ini semua boleh dianggap sebagai GI (yang merupakan) sebahagian daripada IP," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi konsultasi tersebut yang diadakan bersempena AEM ke-57 dan mesyuarat berkaitan hari ini.

Menurut portal rasmi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), GI bermaksud suatu petunjuk yang boleh mengandungi satu atau lebih perkataan yang mengenal pasti apa-apa barang sebagai berasal dari suatu negara atau wilayah atau suatu rantau atau lokaliti dalam negara atau wilayah itu.

GI biasanya mengandungi tempat asal produk tersebut dihasilkan. GI yang berdaftar di Malaysia termasuklah Halia Bentong, Durian Balik Pulau, Tenun Diraja Pahang, Tenom Coffee dan Kasut Manik Melaka.

Liew berkata IP bukan sahaja melindungi hasil inovasi daripada dieksploitasi pihak lain malah mampu menjadi pemangkin kepada pengkomersialan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta menyumbang kepada ekonomi negara.

"Kita mahu Malaysia bukan sahaja Made in Malaysia, malah Made by Malaysia. Ini supaya Malaysia mencipta, Malaysia berinovasi," katanya.

Oleh itu, katanya kerjasama ASEAN-WIPO adalah penting untuk membangunkan ekosistem IP yang lebih berkesan termasuk melalui penglibatan agensi-agensi seperti MyIPO dan rakan serantau.

Beliau turut menyatakan aspirasi jangka panjang untuk menjadikan ASEAN sebagai kuasa budaya yang tersendiri pada peringkat global.

"Mungkin satu hari macam KPOP, ada ASEANPOP," katanya.

-- BERNAMA


#ASEAN #Petunjuk Geografi #harta intelek #identiti budaya