[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
DUNIA

ASEAN meterai perjanjian naik taraf ACFTA 3.0 pada Oktober - Tengku Zafrul

Bernama 24/09/2025 | 11:10 MYT
Tengku Zafrul berkata sektor pengguna adalah antara sektor yang dikenal pasti, dan ASEAN perlu memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan eksport ke China. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Negara-negara anggota ASEAN telah bersetuju secara bersama untuk memeterai perjanjian naik taraf Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA 3.0) pada Sidang Kemuncak ASEAN bulan depan, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.


Ringkasan AI
  • Negara-negara ASEAN bersetuju untuk menandatangani perjanjian naik taraf Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA 3.0) pada Sidang Kemuncak ASEAN Oktober ini, hasil rundingan lancar antara ASEAN dan Kementerian Perdagangan China (MOFCOM).
  • Perjanjian ini memberi tumpuan kepada sektor pengguna dan teknologi, dengan usaha meningkatkan eksport ASEAN ke China serta penyertaan syarikat ASEAN dalam rantaian bekalan China secara lebih telus dan adil.
  • China kekal sebagai rakan perdagangan terbesar ASEAN selama 16 tahun berturut-turut, dengan perdagangan dua hala dijangka mencecah US$1 trilion tahun ini.


Persetujuan itu dicapai berikutan rundingan lancar antara negara anggota dan Kementerian Perdagangan China (MOFCOM) semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 hari ini.

"Rundingan kita berjalan lancar. Kita telah berbincang mengenai naik taraf FTA ASEAN-China 3.0. Semua negara bersetuju akan menandatangani pada Oktober ini semasa mesyuarat bersama pemimpin negara yang lain," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Rundingan AEM-MOFCOM ke-24.

Tengku Zafrul berkata sektor pengguna adalah antara sektor yang dikenal pasti, dan ASEAN perlu memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan eksport ke China.

Katanya sektor teknologi juga penting dan perlu diberikan perhatian dengan menyediakan peluang kepada syarikat dari ASEAN untuk menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan China.

"Kita turut membincangkan mengenai perdagangan yang lebih inklusif dari segi undang-undang untuk memastikan perdagangan antara China dan ASEAN ini adalah perdagangan yang telus dan adil.

"Jadi selepas ini banyak bengkel atau seminar akan diadakan mengenai undang-undang antara China dan ASEAN untuk membincangkan isu perdagangan," katanya.

Beliau berkata China telah menjadi rakan perdagangan terbesar ASEAN selama 16 tahun berturut-turut manakala ASEAN sebagai rakan perdagangan utama China sejak lima tahun lepas.

Tengku Zafrul berkata perdagangan antara ASEAN dan China diunjurkan mencecah US$1 trilion (US$1=RM4.196) tahun ini.

-- BERNAMA


#ASEAN25 #Tengku Zafrul #ACFTA #China