Terkini: Inkues kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
DUNIA

ASEAN perkukuh perlindungan bencana alam ketika taufan, gempa bumi ancam ekonomi

Bernama 13/10/2025 | 08:50 MYT
Pembuat dasar serantau teroka potensi kerjasama dengan rakan global bagi kurangkan risiko bencana berkaitan cuaca yang semakin meningkat. - AP
PHNOM PENH: ASEAN memperkukuh mekanisme pengurusan bencana apabila rantau ini terus berdepan cabaran "geo-climatic" seperti gempa bumi dan taufan yang menjejaskan mata pencarian serta ekonomi.

Pembuat dasar serantau kini meneroka potensi kerjasama dengan rakan global bagi mengurangkan risiko bencana berkaitan cuaca yang semakin meningkat di Asia Tenggara.

Dalam Mesyuarat Jawatankuasa ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana (ACDM) ke-47 di Phnom Penh, kerajaan-kerajaan ASEAN menilai kesan bencana semula jadi dan merangka pelan hala tuju baharu bagi melindungi rantau yang pesat membangun itu.

Ketika persidangan bermula Isnin, Filipina masih bergelut dengan kesan gempa bumi berukuran 7.4 pada skala Richter yang melanda pantai selatan negara itu pada pagi Jumaat lalu, mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh nyawa.

"Filipina antara negara paling terdedah kepada bencana di Asia. Forum ini penting bagi kami untuk mempelajari cara negara lain menangani bencana.

"Walaupun kami mempunyai mekanisme tersendiri, kami ingin mengetahui teknologi lain untuk menanganinya.

"Keutamaan kami ialah menyelamatkan nyawa dan harta benda serta meminimumkan risiko," kata Timbalan Setiausaha Kanan Jabatan Pertahanan Negara Filipina, Irineo C. Espino kepada Bernama di luar sidang mesyuarat itu.

Asia Tenggara, dengan populasi kira-kira 670 juta orang, sering terdedah kepada bencana seperti taufan, tanah runtuh, banjir, kemarau dan gempa bumi yang memberi kesan terhadap rantaian bekalan, ekonomi serta komuniti pertanian.

Rantau ini merupakan pengeluar utama komoditi dunia seperti minyak sawit dan beras.

Indonesia dan Malaysia bersama-sama menghasilkan hampir 80 peratus daripada eksport minyak sawit global.

Vietnam dan Thailand pula antara pengeksport beras utama dunia, masing-masing menghasilkan sekitar lapan juta tan metrik setahun.

Jika tidak ditangani dengan baik, bencana berkaitan cuaca boleh menjejaskan daya tarikan rantau ini sebagai destinasi utama pelaburan langsung asing.

Vietnam masih berdepan kesan banjir selepas dilanda Taufan Matmo minggu lalu, memusnahkan lebih 10,000 rumah dengan kerugian dianggarkan berjumlah RM1 bilion (US$267 juta), lapor Agensi Berita Vietnam.

Sementara itu di Laos, Taufan Bualoi memusnahkan lebih 1,300 hektar sawah padi dan hampir 20 kampung terjejas akibat banjir besar.

Pada hari pembukaan persidangan itu, kerajaan ASEAN mencadangkan usaha mempertingkat kerjasama dengan negara-negara utama seperti Australia, India dan New Zealand yang turut berdepan risiko bencana semula jadi.

"Timor-Leste ialah negara kecil dan kami juga pernah berdepan bencana seperti banjir besar pada 2021.

"Kami perlu tahu bagaimana untuk bertindak balas terhadap bencana.

"Sebaik sahaja menjadi anggota penuh, kami boleh bekerjasama dengan negara anggota lain bagi menangani bencana dan menyelamatkan nyawa," kata Timbalan Nasional bagi Hal Ehwal Antarabangsa dan Komunikasi, Pihak Berkuasa Perlindungan Awam Timor-Leste, Cesario Da Silva Marques kepada Bernama.

-- BERNAMA

#ASEAN #kerjasama #pengurusan bencana #taufan #gempa bumi #ekonomi