DUNIA
ASEAN perlu undang-undang tangani diskriminasi gender dalam perniagaan
Tengku Mohamed Fauzi berkata rantau ini masih kekurangan undang-undang mengikat dan mekanisme akauntabiliti institusi untuk menangani isu berkaitan gender secara berkesan dalam persekitaran perniagaan. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: ASEAN perlu bergerak ke arah mewujudkan kerangka undang-undang yang padu dan boleh dikuatkuasakan bagi menghapuskan diskriminasi berasaskan gender dalam sektor perniagaan, kata Naib Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) Tengku Mohamed Fauzi Tengku Abdul Hamid pada Isnin.
Beliau berkata rantau ini masih kekurangan undang-undang mengikat dan mekanisme akauntabiliti institusi untuk menangani isu berkaitan gender secara berkesan dalam persekitaran perniagaan.
"Kerangka undang-undang kita masih berpecah-pecah. Tanpa undang-undang yang boleh dikuatkuasakan, kesaksamaan gender kekal sebagai aspirasi dan bukannya realiti pelaksanaan," katanya pada Bengkel Serantau Mengenai Perspektif Lensa Gender Dalam Perniagaan dan Hak Asasi Manusia ASEAN di sini.
Tengku Mohamed Fauzi berkata wanita di rantau ini terus berdepan diskriminasi tidak terkawal dalam aspek pengambilan pekerja, rundingan kontrak dan kenaikan pangkat, terutamanya dalam sektor swasta, dan tanpa undang-undang mengikat serta akauntabiliti institusi, kesaksamaan gender kekal hanya pada tahap aspirasi.
Beliau menambah bahawa Konsensus ASEAN mengenai Perlindungan dan Promosi Hak Pekerja Migran yang dipersetujui semua negara anggota ASEAN boleh dijadikan asas untuk menangani isu khusus gender, terutamanya berkaitan wanita migran dalam konteks perniagaan.
Sementara itu, Wakil Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR), Edmund Bon Tai Soon menggesa ASEAN supaya melangkaui usaha nasional yang berpecah-pecah dan menerima pakai kerangka serantau bersama yang memastikan kerajaan dan sektor perniagaan bertanggungjawab terhadap piawaian hak gender yang jelas dan konsisten.
"Kerangka undang-undang amat penting. Kita merupakan rantau yang berbilang, namun kita perlu membangunkan kerangka bersama, lebih-lebih lagi sekarang apabila Malaysia telah mengetuai penerimaan Visi Komuniti ASEAN 2045 yang komited untuk memperkasakan dan melindungi hak wanita serta kanak-kanak," katanya.
Bon turut menekankan bahawa di luar dasar dan undang-undang, kemajuan sebenar memerlukan iltizam politik dan komitmen kukuh daripada para pemimpin ASEAN.
Beliau berkata syarikat perlu memastikan polisi dalaman mereka mencerminkan prinsip yang termaktub dalam undang-undang negara dan polisi ini perlu dipatuhi dalam amalan, bukan sekadar di atas kertas.
Bengkel serantau dua hari yang bermula Isnin itu bertujuan meneroka bagaimana rangka kerja perspektif jantina serantau dapat membantu menangani halangan berasaskan gender, mengatasi diskriminasi struktur dan budaya serta meningkatkan perlindungan hak wanita dan kanak-kanak perempuan di seluruh ASEAN.
Acara ini disokong bersama oleh Negara Anggota ASEAN melalui Dana AICHR, Kerajaan Jepun melalui Dana Integrasi Jepun-ASEAN (JAIF), Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) serta dianjurkan dengan kerjasama kementerian dan agensi Malaysia serta SUHAKAM.
-- BERNAMA