DUNIA

ASEAN tiada konsensus terhadap keputusan pilihan raya Myanmar - Lazaro

Bernama 29/01/2026 | 09:59 MYT
Theresa Lazaro berkata pilihan raya tiga fasa itu berakhir pada 25 Januari, namun keputusannya masih belum diumumkan. - AP
CEBU CITY (Filipina): ASEAN masih belum mencapai konsensus untuk mengiktiraf keputusan pilihan raya Myanmar, kata Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Theresa Lazaro pada Khamis.

Beliau berkata pilihan raya tiga fasa itu berakhir pada 25 Januari, namun keputusannya masih belum diumumkan.

"Setakat pandangan kolektif ASEAN, tiada pengiktirafan diberikan pada masa ini," katanya kepada sidang media selepas Mesyuarat Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN di sini.

Lazaro berkata ASEAN turut mengulangi komitmennya untuk melaksanakan Konsensus Lima Perkara (5PC) bagi menangani krisis Myanmar, sambil menegaskan bahawa 5PC kekal sebagai asas utama penglibatan blok itu dengan Myanmar.

"Kami menekankan komitmen dan peranan ASEAN dalam membantu Myanmar merangka masa depannya serta mencapai penyelesaian krisis yang aman dan berkekalan, yang dimiliki dan dipimpin oleh Myanmar sendiri, sambil menegaskan bahawa Myanmar kekal sebagai bahagian penting ASEAN," katanya.

Ditanya sama ada ASEAN boleh mengubah pendiriannya dan membenarkan Myanmar menghadiri semula Sidang Kemuncak ASEAN, Lazaro berkata sebarang perubahan bergantung kepada konsensus dalam kalangan negara anggota.

"ASEAN beroperasi berdasarkan konsensus. Jika terdapat konsensus, maka perubahan boleh berlaku," katanya.

ASEAN menyekat kehadiran pemimpin Myanmar ke sidang kemuncaknya susulan rampasan kuasa pada Februari 2021, dengan negara itu diwakili oleh pegawai kanan kementerian luar sejak itu.

-- BERNAMA

#ASEAN #konsensus #pilihan raya Myanmar #Ma Theresa P Lazaro #Menteri Luar