[TERKINI] Polis Tahan Pengasas eHati dan Suami Susulan Dakwaan Program Motivasi Rumah Tangga Songsang – Ikuti Perkembangan Di Sini
INTERNATIONAL

ASEAN25: Usaha kerajaan libatkan GCC-China dapat pujian - Tinjauan

Seth Akmal 29/05/2025 | 09:06 MYT
Pemimpin ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China berkumpul semasa sidang kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur pada 26 Mei 2025. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Strategi Malaysia mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN 45 dengan membawa Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China dalam rundingan tiga hala bagi memperkukuh kerjasama, mendapat pujian daripada orang ramai.

Dalam memahami manfaat mesyuarat berprestij itu terhadap rakyat Malaysia dan warga serantau, Astro AWANI mendapatkan pandangan orang ramai mengenainya dalam tinjauan di ibu negara, hari ini.

Pengurus syarikat penerbitan Kawah Buku, Azan Safar, menyifatkan langkah Malaysia mempelawa keterlibatan GCC dan China membuka ruang kepada rundingan lebih terbuka, justeru mengurangkan hegemoni Amerika Syarikat (AS) mengenai tarif timbal balas yang diumumkan oleh Presiden Donald Trump pada 2 April.

"Satu langkah yang baik adalah dengan mengheret bersama kuasa besar yang lain, China dan juga GCC, untuk bersama dalam perkongsian tiga hala ini. Saya rasa itu boleh mengimbangi daya saing Malaysia.

"Maknanya kebergantungan kita kepada AS itu tidak semata-mata sahaja, tetapi ada pilihan lain yang sentiasa memberikan ruang rundingan itu akan lebih terbuka.

"Saya rasa Malaysia telah meletakkan agenda yang betul khususnya dalam konteks kemelut di peringkat global perang tarif, dan memupuk semangat kolektif dalam kalangan rantau. Saya rasa perkara tersebut menepati agenda ASEAN di Kuala Lumpur baru-baru ini," ujarnya.

Azan turut berharap polisi yang dibincangkan dapat membantu golongan peniaga kecil.

"Dalam perspektif saya sebagai peniaga kecil memang ada disebut dalam perbincangan itu adalah untuk memudah cara ataupun membantu peniaga mikro, kecil dan sederhana, saya harap akan menjadi realiti," kata Azan.

Sementara itu bagi pustakawan, Adnan Rizal Harriz, rundingan yang diadakan bertindak sebagai pentas untuk Malaysia bertukar pandangan dengan pihak luar untuk memajukan ekonomi negara.

"Itu merupakan satu platform yang baik untuk negara kita sebab kita berpeluang bertukar pandangan serta mendapatkan juga pandangan negara luar mengenai langkah yang kita boleh perbaiki, seterusnya untuk memajukan ekonomi kita," kata Adnan.

Bagi aktivis sSeni, Affix Zulkarnaen Adam, pertemuan sepuluh pemimpin anggota negara ASEAN membawa kembali nama Malaysia ke persada dunia.

"Setiap negara membawa media mereka sendiri dan bila mereka pulang ke negara masing-masing pastinya berita yang istimewa mengenai Malaysia dikongsikan di khalayak, Ia merupakan satu penganjuran yang baik di mana kita secara tak langsung dapat memperkenalkan kembali Malaysia ke seluruh dunia," kata Affix.

Pada Selasa, ASEAN, GCC dan China mengulangi semula komitmen untuk memperkukuh kerjasama merentasi pelbagai bidang di samping mengorak langkah ke arah masa depan yang aman, makmur dan saksama.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas sidang kemuncak sulung tiga pihak itu, para pemimpin mengulangi tekad kolektif untuk bekerjasama erat bagi meneroka potensi penuh perkongsian dan memastikan kerjasama memberi limpahan manfaat kepada rakyat serta komuniti.



#Amerika Syarikat #AS #ASEAN #China #Donald Trump #Kuala Lumpur #Malaysia #peniaga #Astro Awani #rakyat Malaysia #sidang kemuncak