DUNIA

ASEAN-Switzerland setuju perkukuh kerjasama ekonomi digital, AI

Luqman Hariz 10/07/2025 | 07:00 MYT
Datuk Seri Mohamad Hasan (kanan) mengadakan pertemuan dua hala dengan Ignazio Cassis, sempena Mesyuarat Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 KLCC hari ini. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: ASEAN dan Switzerland bersetuju memperkukuhkan kerjasama dalam beberapa bidang masa hadapan termasuk ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), kewangan hijau dan pemerkasaan belia.


Ringkasan AI
  • ASEAN dan Switzerland bersetuju memperkukuh kerjasama masa hadapan dalam bidang ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), kewangan hijau dan pemerkasaan belia melalui Mesyuarat Trilateral yang turut disertai Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.
  • Mesyuarat turut membincangkan kolaborasi dalam pengurusan bencana melalui Pusat AHA dan peningkatan kemahiran melalui inisiatif TVET ASEAN-Swiss (ASTI), serta pengiktirafan terhadap kepakaran teknikal Switzerland dalam kewangan mampan dan sokongan kepada PMKS.
  • ASEAN mengulangi sokongan terhadap Bidang Kerjasama Praktikal ASEAN-Switzerland (PCA) dan menggalakkan dialog berterusan bagi memastikan penyampaian kerjasama yang berkesan dan terselaras.


Perkara tersebut merupakan antara tumpuan utama Mesyuarat Trilateral antara Malaysia, Switzerland dan Sekretariat ASEAN yang dihadiri oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Ketua Jabatan Perhubungan Luar Switzerland, Ignazio Cassis dan Setiausaha Agung ASEAN, Kao Kim Hourn.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Luar berkata Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN, mengalu-alukan komitmen Switzerland terhadap ASEAN sejak menjadi Rakan Dialog Sektoral pada 2016.

“Kedua-dua pihak mengakui pengembangan kerjasama secara konsisten dalam bidang seperti keamanan, usaha menghapuskan periuk api, serta hak asasi manusia.

“Kepakaran teknikal Switzerland juga diiktiraf, terutamanya dalam bidang kewangan mampan, inovasi digital serta sokongan untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS)," katanya.

Wisma Putra menambah, mesyuarat turut membincangkan kolaborasi dalam pengurusan bencana yang dilaksanakan melalui Pusat AHA, serta peningkatan kemahiran melalui Inisiatif Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ASEAN-Swiss (ASTI).

Katanya, ASEAN mengulangi sokongannya untuk memperkasakan kerjasama dengan Switzerland di bawah inisiatif Bidang Kerjasama Praktikal ASEAN-Switzerland (PCA), serta menggalakkan dialog berterusan antara kedua-dua pihak bagi memastikan penyampaian yang berkesan dan diselaraskan.




#ASEAN25 #Switzerland #Malaysia #Mohamad Hasan