Skip to main content

Dunia

Aset UNRWA lebih US$5 juta di pusat latihan Baitulmuqaddis terancam 

Sumber: X Roland Friedrich
Friedrich berkata pasukan keselamatan Israel dilihat meninggalkan Pusat Latihan Qalandia pada 28 Ogos, dengan kerosakan pada aset PBB dan tanda-tanda penjarahan ditemukan selepas mereka beredar. - Foto X Friedrich
Advertisement

ISTANBUL: Aset Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bernilai lebih US$5 juta ditempatkan di sebuah pusat latihan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki, yang diceroboh secara paksa oleh tentera Israel awal minggu ini, dengan kerosakan dan tanda-tanda penjarahan ditemukan selepas mereka berundur, menurut seorang pegawai kanan agensi itu.

Anadolu Ajansi melaporkan Pengarah Hal Ehwal UNRWA di Tebing Barat Roland Friedrich berkata pasukan keselamatan Israel, kakitangan pihak berkuasa tempatan dan seorang pegawai yang dipilih “menceroboh secara paksa dan menyalahi undang-undang” Pusat Latihan Qalandia pada 25 Ogos lepas serta memaksa kakitangan UNRWA keluar.

Friedrich dalam kenyataan di X berkata pihak berkuasa Israel kemudiannya kekal berada di premis itu dan memulakan kerja pengubahsuaian serta pembersihan.

Beliau berkata pasukan keselamatan Israel dilihat telah meninggalkan pusat berkenaan pada 28 Ogos, dengan kerosakan pada aset PBB dan tanda-tanda penjarahan ditemukan selepas mereka beredar.

“Ketika pencerobohan yang menyalahi undang-undang itu berlaku, Pusat Latihan Qalandia sedang membuat persiapan bagi tahun akademik baharu dan dijangka menerima 340 pelajar dari seluruh Tebing Barat minggu depan,” katanya.

Kemudahan itu merangkumi puluhan bengkel latihan vokasional, bilik darjah, asrama dan bangunan pentadbiran, selain alatan serta kelengkapan bernilai yang digunakan untuk latihan amali vokasional.

Friedrich berkata aset UNRWA di pusat berkenaan bernilai lebih US$5 juta sambil memaklumkan bahawa agensi itu dan rakan antarabangsa telah membuat pelaburan besar dalam peralatan latihan, penambahbaikan infrastruktur, penyelenggaraan serta kerja pembaikan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

 

 

Beliau berkata beberapa projek berkenaan masih dilaksanakan ketika pihak berkuasa Israel memasuki kemudahan itu.

UNRWA menegaskan keperluan untuk melindungi pusat berkenaan dan asetnya berikutan peranannya dalam menyediakan pendidikan serta kemahiran vokasional kepada golongan belia pelarian Palestin.

Friedrich berkata Israel mempunyai kewajipan undang-undang untuk menarik balik tindakannya “tanpa berlengah” dan mencegah kejadian seumpama itu daripada berulang.

Dalam wawancara dengan Anadolu pada 27 Ogos, Friedrich berkata Qalandia merupakan kemudahan utama terakhir UNRWA di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki selepas pihak berkuasa Israel menutup enam sekolah dan dua pusat kesihatan agensi itu serta merampas dan memusnahkan sebahagian besar ibu pejabat utamanya di kawasan kejiranan Sheikh Jarrah.

Beliau berkata Pusat Latihan Qalandia yang ditubuhkan pada 1952 merupakan kemudahan latihan teknikal dan vokasional tertua UNRWA di Tebing Barat serta menyediakan latihan vokasional secara percuma kepada 340 belia pelarian Palestin setiap tahun.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement