BANGKOK: Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha berkata Asia dan Eropah harus menyegerakan rundingan mengenai pengiktirafan bersama sijil vaksin digital bagi mempermudah perjalanan antara kedua-dua rantau.

Bercakap pada sesi pleno ke-2 Mesyuarat Asia-Eropah ke-13 (ASEM 13) bertemakan "COVID-19, and socio-economic recovery" melalui persidangan video, Prayuth berkata ini penting kerana pemulihan pasca pandemik memerlukan kesalinghubungan.

"Pandemik COVID-19 menekankan kepentingan kesalinghubungan antara Asia dan Eropah. Thailand telah mula membuka perjalanan antarabangsa yang selamat," katanya.

Prayuth berkata Asia dan Eropah perlu bekerjasama untuk menggalakkan dasar pemulihan ekonomi dengan mengambil kira keseimbangan dalam semua perkara.

"Sekiranya Asia dan Eropah dapat tingkatkan kerjasama dalam bidang seperti pembiayaan hijau dan pemindahan teknologi, serta syarikat permula hijau dan PKS, banyak negara, termasuk Thailand, akan dapat mencapai pemulihan yang seimbang dan memenuhi sasaran ini lebih awal berbanding jadual," katanya.

Prayuth turut berkongsi pengalaman Thailand dalam memerangi pandemik COVID-19 dan mencadangkan kerjasama 'Next Normal' antara Asia dan Eropah untuk mengelakkan krisis itu berulang.

Pada sidang akhbar bersama ASEM 13, Prayuth berkata ASEM akan membantu memastikan pemulihan pasca COVID-19 yang inklusif dan mampan serta membantu merapatkan kedua-dua rantau.

Beliau percaya pengukuhan kesalinghubungan akan membentuk asas penting untuk perjanjian perdagangan bebas antara wilayah dapat diwujudkan pada masa depan, yang akan membantu meningkatkan pekerjaan dan merancakkan semula sektor pelancongan di Asia dan Eropah.

Selepas sidang akhbar itu, Prayuth menyertai pemimpin lain menerima pakai tiga dokumen iaitu '13th Asia-Europe Meeting Chair's Statement'; 'Phnom Penh Statement on the Post-COVID-19 Socio-Economic Recovery'; dan 'The Way Forward on ASEM Connectivity'.

-- BERNAMA