Asia Pasifik kini dalam era 'gemilang' transformasi digital - Huawei

Bernama
April 29, 2024 04:30 MYT
Kongres anjuran bersama Huawei dan ASEAN Foundation di Bangkok ini menarik lebih 2,000 hadirin, termasuk pegawai kerajaan, cendekiawan, rakan kongsi niaga dan penganalisis dari 15 negara dan wilayah Asia Pasifik. - Foto Huawei
BANGKOK: Pertumbuhan ekonomi digital Asia Pasifik kini dilihat berada di era kegemilangannya, dengan beberapa negara dan rantau giat meneroka aspek kecerdasan sambil menggalakkan pembangunan digital, kata Huawei.
Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah dan Ketua Pegawai Kewangan Huawei Sabrina Meng berkata rantau Asia Pasifik bukan sahaja antara rantau yang pesat membangun tetapi turut menjadi ikutan pihak lain yang giat berusaha meningkatkan ekonomi digital mereka.
"Huawei sangat berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada proses ini. Ia memberikan peluang yang baik kepada kami apabila dapat bekerjasama dengan pelanggan dan rakan kongsi yang hebat dalam memacu transformasi digital rantau ini.
"Dengan membawa manfaat teknologi digital dan pintar kepada orang ramai di Asia Pasifik, Huawei dapat menggalakkan pembangunan bersepadu ekonomi digital dan sebenar," katanya dalam ucapan perasmian melalui sidang video di Huawei Digital and Intelligent APAC Congress 2024.
Kongres yang dianjurkan bersama Huawei dan ASEAN Foundation di Bangkok pada 29-30 April 2024 ini menarik lebih 2,000 hadirin, termasuk pegawai kerajaan, cendekiawan, rakan kongsi niaga dan penganalisis dari 15 negara dan wilayah Asia Pasifik.
Antara fokus perbincangan pada kongres tersebut ialah penggunaan infrastruktur digital yang canggih bagi mempercepatkan kemajuan digital dan kecerdasan rantau Asia Pasifik.
Sementara itu, Presiden Huawei rantau Asia Pasifik Simon Lin menekankan bahawa landskap digital yang semakin berkembang menuntut lebih daripada sekadar menerima pakai penyelesaian, malah ia memerlukan penyepaduan teknologi yang mendalam ke dalam ekonomi dan masyarakat.
"Memandangkan Asia Pasifik kini menghampiri era kegemilangan pembangunan ekonomi digital, Huawei komited untuk menjadi inovator teknologi, perintis industri dan penyumbang tempatan.
"Bersama-sama dengan hampir 10,000 syarikat dan rakan kongsi awan, kami bersedia untuk mengharungi cabaran ini dalam dan mempercepatkan pendigitalan dan kecerdasan Asia Pasifik," katanya pada kongres itu.
Sepanjang kongres dua hari itu, Huawei akan menganjurkan empat persidangan: Huawei Network Summit, Innovative Data Infrastructure Forum, Global Optical Summit, dan Huawei Cloud Stack Summit.
-- BERNAMA
#transformasi digital #ekonomi #Asia Pasifik #Huawei
;