KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Asia dan Pasifik (UNESCAP) mendedahkan, rantau Asia Pasifik masih ketinggalan di belakang untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030.

Ia sekali gus menyaksikan rantau tersebut mungkin hanya mencapai kurang 10 peratus sasaran daripada 17 matlamat SDG.

Bahkan, Setiausaha Eksekutif UNESCAP, Armida Salsiah Alisjahbana berkata, rantau Asia Pasifik gagal mencapai sasaran tersebut sebelum dunia dilanda pandemik COVID-19 lagi.

"Kebanyakan perkembangan dilihat dalam aspek kesihatan dan kesejahteraan dan industri inovasi dan infrastruktur.

"Selain itu, untuk kadar kemiskinan, kelaparan, kualiti pendidikan dan pengurangan ketaksamaan juga terkebelakang, dan memberi tindak balas kepada perubahan iklim dan kehidupan dalam air.

"Sementara itu, di peringkat sub-wilayah, terdapat kebiasaan dan perbezaan terhadap percapaian 17 matlamat SDG. Wilayah Asia Timur dan bukan Asia Timur berada pada landasan untuk membasmi kemiskinan dan penyediaan air bersih," katanya ketika membentangkan laporan tersebut secara maya hari ini.

Bagi Asia Tenggara pula, industri inovasi dan infrastruktur di wilayah berkenaan berada pada landasan yang tepat.

Mengulas lanjut, Armida berkata, rantau Asia Pasifik juga masih berdepan cabaran untuk menyediakan kakitangan kesihatan yang mencukupi, mengurangkan kematian pramatang serta meningkatkan kesedaran terhadap kesihatan mental.

Jelas beliau lagi, setiap negara perlu memperkasakan komitmen kolektif terhadap SDG dan menyediakan panduan untuk menjadi lebih baik dan lestari.

Justeru, katanya setiap negara perlu memperbaharui komitmen terhadap SDG dalam memantau rangka kerja agar pemulihan dapat dipercepatkan, sekali gus perubahan global dapat dicapai seperti yang diharapkan dalam Agenda 2030.

SDG mula dirancang ketika sidang kemuncak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada September 2015.

Sebanyak 17 matlamat ditetapkan dan perlu dicapai menjelang 2030.

Sebahagian matlamat ini berkenaan membasmi kemiskinan (SDG1), akses kepada tenaga yang bersih (SDG7), penggunaan sumber secara bertanggungjawab (SDG12) dan perubahan iklim (SDG13).