Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
DUNIA

Asia Selatan ucap selamat ulang tahun ASEAN, puji kerjasama serantau

Bernama 09/08/2025 | 02:50 MYT
Pakistan menyifatkan ASEAN sebagai "contoh cemerlang" kerjasama serantau dan Islamabad berhasrat memperkukuh hubungan dengan ASEAN demi mewujudkan rantau Asia Pasifik yang lebih kukuh dan saling berhubung. - Gambar Bernama
NEW DELHI: Negara-negara Asia Selatan menyampaikan ucapan tahniah kepada ASEAN sempena ulang tahun ke-58 penubuhan blok serantau itu pada Jumaat.

Pakistan menyifatkan ASEAN sebagai "contoh cemerlang" kerjasama serantau dan Islamabad berhasrat memperkukuh hubungan dengan ASEAN demi mewujudkan rantau Asia Pasifik yang lebih kukuh dan saling berhubung.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Pakistan, Ishaq Dar dalam ucapan tahniahnya kepada ASEAN dan negara anggota menerusi platform X pada Jumaat.

"ASEAN adalah contoh kerjasama cemerlang serantau, dialog dan kemakmuran bersama.

"Perjalanannya sejak beberapa dekad lalu memberi inspirasi dan harapan kepada sebuah tatanan antarabangsa yang aman dan inklusif," katanya.

Pakistan menjadi rakan dialog sektoral ASEAN sejak 1993.

Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Luar India, Subrahmanyam Jaishankar yang turut mengucapkan tahniah kepada ASEAN, menegaskan komitmen negaranya untuk terus mengukuhkan perkongsian dengan blok itu.

"Sebagai negara dengan demografi besar, ekonomi yang kukuh, tamadun serta hubungan antara rakyat, India dan ASEAN berkongsi aspirasi serta visi bersama untuk kemajuan dan kemakmuran," katanya menerusi X.

Sementara itu, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Sri Lanka menganjurkan majlis makan malam bersama ketua-ketua misi ASEAN di Colombo pada Jumaat, dengan Timbalan Menteri Luar Sri Lanka, Arun Hemachandra sebagai tetamu kehormat.

Di Dhaka, Jawatankuasa ASEAN yang dianggotai ketua misi ASEAN di Bangladesh mengadakan sambutan pada Khamis, dengan Penasihat Kementerian Kebudayaan Bangladesh, Mustafa Sarwar Farooki sebagai tetamu utama di Kedutaan Thailand.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Bangladesh, Mohd Shuhada Othman dalam ucapannya menekankan Deklarasi Kuala Lumpur, Wawasan Komuniti ASEAN 2045 serta mempromosikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan datang.

Di Islamabad, Institut Kajian Strategik Islamabad (ISSI) menganjurkan perbincangan bertajuk "Pakistan and ASEAN: Partners in Peace, Progress, and Regional Prosperity" dengan kerjasama Kementerian Luar dan Jawatankuasa ASEAN di Islamabad pada Khamis.

ASEAN ditubuhkan pada 8 Ogos 1967 dan kini dianggotai 10 negara -- Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

-- BERNAMA



#ASEAN #ulang tahun ASEAN #Asia Selatan #Rakan Dialog ASEAN