Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
DUNIA

Australia akan iktiraf negara Palesin di Perhimpunan Agung PBB September ini

Astro Awani 11/08/2025 | 04:00 MYT
Albanese menegaskan bahawa keputusan itu dibuat selepas menerima komitmen rasmi daripada Pihak Berkuasa Palestin. - Foto fail
SYDNEY: Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, mengumumkan bahawa negaranya akan secara rasmi mengiktiraf negara Palestin pada sesi ke-80 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dijadual berlangsung September ini.


Ringkasan AI
  • Australia akan secara rasmi mengiktiraf negara Palestin pada Perhimpunan Agung PBB September ini, menyertai negara Barat lain seperti UK, Perancis dan Kanada.
  • Perdana Menteri Anthony Albanese menyatakan sokongan kepada penyelesaian dua negara, sebagai usaha memecahkan kitaran keganasan di Asia Barat.
  • Langkah ini menerima kritikan daripada Israel, namun tinjauan menunjukkan sokongan rakyat Australia terhadap pengiktirafan Palestin semakin meningkat.


Langkah bersejarah ini menjadikan Australia antara negara Barat yang menyertai United Kingdom, Perancis dan Kanada dalam menyokong penubuhan negara Palestin, di tengah krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza.

Dalam sidang media di Canberra, Albanese menegaskan bahawa keputusan itu dibuat selepas menerima komitmen rasmi daripada Pihak Berkuasa Palestin.

"Australia akan mengiktiraf hak rakyat Palestin untuk memiliki negara mereka sendiri, berdasarkan komitmen yang telah kami terima daripada pihak Palestin," katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa Australia akan bekerjasama dengan komuniti antarabangsa untuk merealisasikan penyelesaian dua negara, yang disifatkan sebagai “harapan terbaik untuk memecahkan kitaran keganasan di Asia Barat.”

Pengiktirafan ini menerima kritikan keras daripada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang menyifatkan langkah tersebut sebagai “memalukan” dan “ganjil secara diplomatik.”

"Ia tidak masuk akal bagaimana pemimpin dunia boleh menyokong sesuatu yang akan membawa kepada perang, bukan keamanan," katanya dalam kenyataan rasmi.

Sementara itu, tinjauan pendapat oleh DemosAU menunjukkan sokongan rakyat Australia terhadap pengiktirafan negara Palestin semakin meningkat, dengan 45 peratus responden menyokong langkah itu sebelum perjanjian damai dimeterai.







#Palestin #Anthony Albanese #Israel #Gaza