KUALA LUMPUR: Australia dan Kesatuan Eropah (EU) menegaskan bahawa Kod Tatalaku (CoC) Laut China Selatan mesti menegakkan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS), sambil menggesa pertikaian maritim diselesaikan secara aman.
Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Danielle Heinecke berkata kod berkenaan tidak boleh mengurangkan hak yang diperuntukkan di bawah UNCLOS, sama ada untuk negara-negara penuntut mahupun pihak ketiga.
“Peraturan adalah penting kerana ia memberikan kuasa kepada sesebuah negara. Ia melindungi kedaulatan dan hak memerintah. Ia menyediakan kerangka kerja yang dipersetujui dan amat penting bagi mengelakkan negara kuasa besar daripada memaksa negara yang lebih kecil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan khas pada hari terakhir Persidangan Laut China Selatan 2026 anjuran Institut Maritim Malaysia (MIMA) yang bertemakan "Laut China Selatan 2026: Undang-undang, Ketahanan dan Orde Serantau” di sini pada Rabu.
Heinecke berkata UNCLOS menyediakan kerangka undang-undang yang komprehensif bagi aktiviti di laut, melindungi kebebasan pelayaran dan penerbangan, serta menyediakan mekanisme mengikat bagi penyelesaian pertikaian secara aman.
Beliau berkata kira-kira dua pertiga daripada perdagangan maritim Australia melalui Laut China Selatan, menjadikan keselamatan dan kestabilannya penting kepada kepentingan ekonomi negara itu.
“Laut China Selatan menjadi ujian sama ada semua negara, tanpa mengira saiz atau kuasa mereka, boleh melaksanakan hak masing-masing di bawah undang-undang antarabangsa,” katanya.
Beliau turut mengetengahkan kerjasama dengan Malaysia, termasuk kira-kira 13 latihan pertahanan bersama setiap tahun, sama ada secara bilateral atau bersama rakan serantau, serta memorandum persefahaman yang ditandatangani bulan lepas mengenai sistem dron bagi memperluas keupayaan pengawasan dan penguatkuasaan maritim.
ASEAN dan China sedang berunding mengenai Kod Tatalaku itu bagi mewujudkan garis panduan kelakuan di Laut China Selatan yang mana beberapa negara mempunyai tuntutan bertindih.
Rundingan itu berasaskan Deklarasi Tatalaku Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan yang ditandatangani pada 2002 dengan kedua-dua pihak berusaha ke arah mendapatkan sebuah kod penyelesaian yang berkesan dan substantif serta konsisten dengan undang-undang antarabangsa, termasuk UNCLOS.
Sementara itu, Duta EU ke Malaysia Rafael Daerr berkata blok itu menyokong usaha ASEAN ke arah CoC yang efektif, substantif dan mengikat secara undang-undang dengan China serta selaras dengan UNCLOS.
“Kami mengekalkan pendirian bahawa ketegangan dan pertikaian mesti diselesaikan melalui dialog dan saluran aman mengikut undang-undang antarabangsa, dengan UNCLOS sebagai terasnya,” katanya dalam ucapan khas pada persidangan yang sama.
Daerr turut mengulangi pendirian EU bahawa keputusan timbang tara Laut China Selatan 2016 adalah muktamad serta mengikat pihak-pihak terlibat dan mesti dihormati.
Beliau berkata kebebasan pelayaran merupakan satu keperluan ekonomi, di mana ancaman terhadap laluan perkapalan akan memberi kesan kepada negara-negara melalui peningkatan harga dan gangguan rantaian bekalan.
Daerr berkata EU telah melancarkan ikrar global minggu ini, yang disokong oleh 60 negara, bagi memastikan laluan perkapalan antarabangsa kekal terbuka dan bebas, serta menolak tindakan paksaan atau bersifat unilateral di laut.
Mengenai kerjasama praktikal, beliau berkata EU berhasrat memperkukuh perkongsian maklumat maritim dan koordinasi operasi melalui platform Perkongsian Maklumat Serantau Indo-Pasifik (IORIS), di samping bekerjasama dengan Malaysia dalam keselamatan maritim serta perlindungan infrastruktur kritikal.
Beliau berkata hubungan perdagangan dan pelaburan yang lebih kukuh mampu memperkasakan kepentingan bersama negara-negara terlibat dalam mengekalkan persekitaran maritim yang selamat, stabil dan terjamin.
“Kod Tatalaku ini hanya akan berkesan sekiranya ia dimaktubkan dalam prinsip yang jelas, menghormati kepentingan semua pihak dan jika ia boleh dipercayai,” katanya.
Dianjurkan oleh Institut Maritim Malaysia (MIMA), persidangan dua hari bermula dari 13 hingga 14 Okt itu menghimpunkan pembuat dasar, diplomat, pakar akademik serta pakar keselamatan maritim bagi meneliti kerjasama serantau, ketahanan, dan kerangka undang-undang maritim.
-- BERNAMA