Skip to main content

Dunia

Australia gandakan denda bagi pelanggaran larangan media sosial untuk kanak-kanak bawah 16 tahun

A teenager poses holding a mobile phone
Perdana Menteri Anthony Albanese berkata syarikat teknologi masih belum melakukan secukupnya bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang terbabit. - Gambar hiasan
Advertisement

CANBERRA: Kerajaan Australia akan menggandakan kadar maksimum denda terhadap syarikat yang gagal menguatkuasakan larangan penggunaan media sosial bagi kanak-kanak berusia bawah 16 tahun, lapor Xinhua.

Perdana Menteri Anthony Albanese berkata syarikat teknologi masih belum melakukan secukupnya bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang yang melarang golongan itu daripada memiliki akaun media sosial.

Menurut beliau, kerajaan akan membentangkan rang undang-undang di Parlimen Persekutuan bagi meningkatkan kadar maksimum denda ke atas syarikat media sosial yang gagal menghalang kanak-kanak bawah 16 tahun daripada menggunakan platform mereka daripada A$49.5 juta (US$34.1 juta) kepada A$99 juta (AS$68.3 juta).

"Masih terlalu ramai kanak-kanak menggunakan media sosial.

"Perubahan ini mencerminkan kesungguhan kami dalam menangani sebarang kegagalan syarikat media sosial untuk mematuhi undang-undang perintis dunia yang diperkenalkan Australia," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Larangan yang pertama seumpamanya di dunia itu mula berkuat kuasa pada Disember 2025. 

Namun, kajian yang diterbitkan Universiti Newcastle, Australia pada Khamis mendapati lebih 85 peratus kanak-kanak bawah 16 tahun masih menggunakan media sosial tiga bulan selepas undang-undang itu dilaksanakan.

Selain menggandakan kadar denda, Albanese berkata pindaan yang dicadangkan itu turut memperkukuh kuasa Pesuruhjaya eSafety untuk mengarahkan syarikat media sosial mengemukakan bukti mengenai langkah yang diambil bagi menghalang golongan bawah 16 tahun daripada mengakses platform masing-masing.

Menurut laporan Australian Broadcasting Corporation, kerajaan berhasrat membentangkan pindaan berkenaan sebelum Parlimen Persekutuan memulakan cuti musim sejuk tahunannya pada Khamis.

-- BERNAMA-XINHUA

Must Watch Video

Advertisement