Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
DUNIA

Australia heret Microsoft ke mahkamah, didakwa perdaya 2.7 juta pelanggan

Agensi 26/10/2025 | 23:20 MYT
Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Australia memfailkan prosiding di Mahkamah Persekutuan terhadap Microsoft Australia dan syarikat induknya, Microsoft Corporation, atas dakwaan memperdaya kira-kira 2.7 juta pelanggan di negara itu. - Gambar fail
SURUHANJAYA Persaingan dan Pengguna Australia (ACCC) telah memfailkan prosiding di Mahkamah Persekutuan terhadap Microsoft Australia dan syarikat induknya, Microsoft Corporation, atas dakwaan memperdaya kira-kira 2.7 juta pelanggan di negara itu.

Menurut ACCC, Microsoft didakwa memberikan maklumat yang mengelirukan berhubung pilihan langganan dan kenaikan harga selepas syarikat itu mengintegrasikan pembantu kecerdasan buatan (AI) mereka, Copilot, ke dalam pelan langganan Microsoft 365.

Sejak 31 Oktober 2024, pelanggan pelan Microsoft 365 Personal dan Family yang mempunyai ciri pembaharuan automatik dimaklumkan bahawa mereka perlu menerima integrasi Copilot dan membayar harga baharu yang lebih tinggi untuk meneruskan langganan, atau membatalkan langganan mereka.

Namun, ACCC mendakwa, Microsoft gagal mendedahkan satu lagi pilihan yang membolehkan pelanggan mengekalkan pelan asal mereka tanpa Copilot pada harga lama yang lebih rendah - dikenali sebagai pelan “Classic”.

Pilihan ini hanya muncul selepas pelanggan memulakan proses pembatalan langganan melalui akaun mereka.

Pengerusi ACCC, Gina Cass-Gottlieb berkata, pihaknya akan membuktikan di mahkamah bahawa Microsoft sengaja menyembunyikan kewujudan pelan Classic dalam komunikasi mereka, bagi menggalakkan lebih ramai pelanggan beralih kepada pelan baharu yang lebih mahal.

“Kami bimbang komunikasi Microsoft telah menafikan hak pelanggan untuk membuat keputusan yang termaklum mengenai pilihan langganan mereka,” katanya.

Susulan integrasi Copilot, harga langganan tahunan Microsoft 365 Personal meningkat sebanyak 45 peratus - daripada AUD109 kepada AUD159. Manakala pelan Family meningkat sebanyak 29 peratus - daripada AUD139 kepada AUD179.

ACCC kini menuntut hukuman, injunksi, pengisytiharan, pampasan kepada pengguna dan kos guaman, sekiranya mahkamah mendapati Microsoft melanggar undang-undang pengguna Australia. - Agensi



#Australia #Microsoft #Microsoft perdaya pelanggan #Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Australia #ACCC