CANBERRA: Pengawal selia media Australia pada Isnin menerbitkan panduan awal industri mengenai peraturan baharu yang melarang selebriti, atlet profesional dan pempengaruh media sosial muncul dalam iklan perjudian mulai 1 Jan 2027, lapor Xinhua.
Pihak Berkuasa Komunikasi dan Media Australia (ACMA) berkata larangan itu akan dikuatkuasakan merentasi semua platform, termasuk televisyen, radio, laman sesawang berita, permainan dalam talian dan media sosial.
Di bawah peraturan baharu itu, iklan perjudian tidak boleh menampilkan "individu terkenal", termasuk atlet profesional yang masih aktif atau bekas atlet profesional, selebriti, pempengaruh media sosial dan individu terkemuka lain.
Penyedia pertaruhan dalam talian berlesen juga dilarang mengadakan perjanjian penajaan atau promosi yang melibatkan individu sedemikian mulai tarikh yang sama.
ACMA berkata panduan itu bertujuan membantu industri memahami dan membuat persediaan bagi memenuhi keperluan baharu berkenaan, termasuk pengecualian yang berkaitan.
-- BERNAMA-XINHUA