Skip to main content

Dunia

Australia perketat larangan media sosial kanak-kanak, gandakan denda terhadap syarikat teknologi

[TB]_Pengesahan umur media sosial_SINAR
Menurut kajian melibatkan 408 remaja, sebanyak 85 peratus rakyat Australia berusia antara 12 dan 15 tahun masih menggunakan media sosial tiga bulan selepas larangan penggunaan itu berkuat kuasa.- Gambar hiasan/Sinar Harian
Advertisement

KUALA LUMPUR: Australia pada Sabtu mengumumkan akan menggandakan denda maksimum yang boleh dikenakan terhadap syarikat teknologi yang didapati gagal mematuhi larangan penggunaan media sosial oleh kanak-kanak, ketika semakin banyak bukti menunjukkan larangan itu kurang memberi kesan terhadap penggunaan media sosial dalam kalangan remaja.

Kerajaan juga akan memperkukuh kuasa Suruhanjaya eSafety untuk mendapatkan maklumat, sekali gus membolehkannya mengarahkan syarikat media sosial mengemukakan bukti mengenai langkah yang telah diambil bagi menghalang individu berusia bawah 16 tahun daripada membuka akaun.

Di bawah pindaan itu, denda maksimum bagi kegagalan sistematik mematuhi larangan berkenaan dinaikkan kepada A$99 juta (US$68 juta) daripada A$49.5 juta.

Kerajaan turut mengulangi bahawa Suruhanjaya eSafety sedang menjalankan siasatan secara aktif terhadap kemungkinan ketidakpatuhan lima platform media sosial, iaitu Instagram dan Facebook milik Meta, YouTube milik Google, Snapchat milik Snap serta TikTok.

Larangan yang berkuat kuasa sejak enam bulan lalu itu mendapat perhatian banyak negara yang bercadang mencontohinya susulan kebimbangan terhadap kesan media sosial terhadap kesihatan mental dan fizikal golongan muda. Britain pada bulan ini turut mengumumkan rancangan untuk memperkenalkan sekatan yang lebih ketat dengan melibatkan platform permainan dan penstriman langsung.

"Saya berasa gembira melihat perubahan dalam perbincangan serta momentum global sejak kami memperkenalkan had umur minimum bagi penggunaan media sosial, namun jelas syarikat teknologi gergasi masih tidak melakukan secukupnya untuk mematuhi undang-undang. Masih terlalu ramai kanak-kanak menggunakan media sosial," kata Perdana Menteri Anthony Albanese dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu, sejak larangan berkenaan dikuatkuasakan, lebih lima juta akaun milik individu berusia bawah 16 tahun telah dinyahaktifkan atau dikenakan sekatan.

Bagaimanapun, pelbagai kajian turut menunjukkan bahawa mekanisme pengesahan umur yang diperkenalkan syarikat teknologi, seperti mengambil swafoto, mudah dipintas oleh kanak-kanak dan dalam kebanyakan kes mereka langsung tidak diminta membuktikan umur masing-masing.

Menurut satu kajian yang diterbitkan dalam British Medical Journal minggu ini melibatkan 408 remaja, sebanyak 85 peratus rakyat Australia berusia antara 12 hingga 15 tahun masih menggunakan media sosial tiga bulan selepas larangan itu berkuat kuasa.

Kajian itu mendapati dua pertiga pengguna bawah umur terus menggunakan media sosial dengan mengisytiharkan umur melebihi 16 tahun atau memuat naik swafoto yang diterima platform sebagai menunjukkan mereka berusia lebih 16 tahun.

Pada April, sebuah badan industri yang mewakili pembekal teknologi menyatakan masalah dalam penguatkuasaan larangan itu berpunca daripada penggunaan lemah oleh platform media sosial terhadap teknologi sedia ada bagi membuat semakan umur, bukannya disebabkan kekangan teknologi itu sendiri.

"Berdasarkan maklumat terkini yang saya terima secara berkala daripada Suruhanjaya eSafety, jelas kepada saya bahawa platform media sosial menggunakan pelbagai helah seperti yang sering dilakukan syarikat teknologi gergasi dan hanya melakukan usaha minimum untuk mematuhi undang-undang," kata Menteri Komunikasi Anika Wells dalam kenyataan itu.

Selain memperkasakan pengawal selia untuk mendapatkan maklumat daripada platform media sosial, pindaan undang-undang yang dicadangkan itu juga akan membolehkannya mendapatkan maklumat daripada pihak ketiga seperti penyedia perkhidmatan pengesahan umur atau gedung aplikasi bagi membantu menguji dakwaan yang dibuat oleh platform berkenaan.

Jurucakap perdana menteri berkata tarikh pembentangan pindaan undang-undang itu di Parlimen masih belum diputuskan, namun kerajaan akan mengumumkan perkembangan lanjut mengenai perkara itu dalam masa terdekat.

Sementara itu, laman sesawang Reddit mencabar larangan itu di mahkamah tertinggi Australia dalam tindakan berasingan bagi membatalkan larangan berkenaan atas alasan kebebasan bersuara. 

-- REUTERS

 

 

Must Watch Video

Advertisement