DUNIA
Australia tolak kenyataan Netanyahu terhadap Perdana Menterinya

Kenyataan yang dibuat oleh Benjamin Netanyahu (kiri) terhadap Perdana Menteri Australia Anthony Albanese ditolak. - Gambar fail
CANBERRA: Menteri Dalam Negeri Australia Tony Burke menolak kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu terhadap rakan sejawatnya dari Australia Anthony Albanese, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik media tempatan.
Menteri Dalam Negeri Australia itu memberitahu Perbadanan Penyiaran Australia (ABC) bahawa, "Kekuatan bukan diukur daripada berapa ramai orang yang anda boleh bunuh atau berapa ramai kanak-kanak yang anda boleh biarkan kebuluran."
"Kekuatan jauh lebih baik diukur melalui apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri Anthony Albanese, iaitu apabila ada keputusan yang kita tahu Israel tidak akan suka, beliau terus berhubung dengan Benjamin Netanyahu. Beliau mengadakan perbualan, menyatakan dengan jelas apa yang kita ingin lakukan dan memberi peluang untuk bantahan dibuat secara bersemuka," katanya lagi.
Beliau berkata Netanyahu "membidas" beberapa negara yang menyatakan akan mengiktiraf negara Palestin.Australia telah membatalkan visa Simcha Rothman, seorang anggota parti berhaluan kanan Israel Religious Zionism (Mafdal), hanya beberapa hari sebelum lawatan yang dirancangnya untuk acara ceramah. Selain pembatalan itu, beliau turut dihalang daripada memasuki negara berkenaan selama tiga tahun akan datang.
"Kerajaan kami mengambil pendirian tegas terhadap individu yang mahu datang ke negara ini dan menyebarkan perpecahan," kata Burke.
Berikutan pembatalan visa itu, Israel memutuskan untuk membatalkan visa wakil Australia ke Pihak Berkuasa Palestin di Ramallah.
Pada 11 Ogos, Perdana Menteri Australia Anthony Albanese mengumumkan bahawa negaranya berhasrat mengiktiraf Negara Palestin pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) September ini.
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami