INTERNATIONAL
Awan toksik di Sepanyol: Perintah berkurung bagi 150,000 penduduk ditamatkan
Awan toksik klorin yang terbentuk daripada satu insiden kebakaran di sebuah gudang industri di bandar Vilanova i la Geltru. - Reuters
MADRID: Kira-kira 150,000 penduduk di bandar Vilanova i la Geltru dan empat komuniti berhampiran di barat daya Barcelona diarah berkurung selama beberapa jam selepas kebakaran di sebuah gudang industri menyebabkan pelepasan awan toksik klorin di kawasan itu pada Sabtu.
Penduduk diarahkan kekal di dalam rumah serta menutup tingkap dan pintu sejak awal pagi Sabtu sebagai langkah berjaga-jaga ketika pasukan bomba berusaha memadamkan kebakaran di loji berkenaan, yang mengandungi sehingga 70 tan tablet pembersih kolam renang, menurut unit perlindungan awam tempatan, lapor agensi berita Jerman dpa.
Menurut akhbar El Pais, tablet itu bertindak balas dengan air yang digunakan untuk memadamkan api, lalu menghasilkan awan toksik.
Perintah berkurung ditamatkan kira-kira 12.15 tengah hari (1015 GMT), namun pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan sekatan baharu dikenakan, sementara mereka terus memantau keadaan. Penduduk turut dinasihatkan agar kekal berwaspada, terutama golongan berisiko tinggi seperti warga emas dan individu yang menghidap penyakit.
Kebakaran itu dilaporkan berjaya dikawal kira-kira 7 malam.
Setakat 7.45 malam, Sistem Kecemasan Perubatan (SEM) merawat tujuh individu, termasuk dua dalam keadaan serius dan seorang dalam keadaan kritikal.
Punca kebakaran masih belum diketahui.
Gas toksik atau perengsa yang dilepaskan ke udara itu boleh bertindak balas dengan air yang terkandung dalam membran mukus di mata, hidung, tekak dan paru-paru lalu membentuk asid hidroklorik dan boleh membakar tisu sensitif.
-- BERNAMA