[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
DUNIA

Ayatollah Ali Khamenei bersuara: "Iran tidak akan tunduk kepada sebarang pencabulan"

Agensi 23/06/2025 | 23:00 MYT
Khamenei menegaskan, Iran tidak akan sesekali tunduk kepada sebarang bentuk pencabulan oleh mana-mana pihak, sambil menegaskan negara Republik Islam itu tidak pernah memulakan sebarang tindakan agresif terhadap negara lain. - Gambar X @Khamenei.Ir
TEHRAN: Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei menegaskan, Republik Islam itu tidak akan sesekali tunduk kepada sebarang bentuk pencabulan oleh mana-mana pihak, sambil menekankan, Iran tidak pernah memulakan sebarang tindakan agresif terhadap negara lain.
“Kami tidak akan tunduk kepada sebarang pencabulan. Inilah prinsip dan pendirian tegas rakyat Iran,” kata Khamenei dalam satu kenyataan yang dimuat naik di akaun rasminya di platform X, awal pagi Selasa.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Kenyataan itu disertakan dengan ilustrasi bendera Amerika Syarikat yang sedang terbakar, berlatarbelakangkan beberapa bangunan yang turut dijilat api – satu isyarat jelas kepada ketegangan yang semakin memuncak antara kedua-dua negara.
Ia merupakan reaksi pertama Khamenei di media sosial susulan serangan udara Amerika Syarikat ke atas beberapa lokasi yang dipercayai tapak berkaitan program nuklear Iran, hujung minggu lalu.
Washington sebelum ini mendakwa tindakan itu sebagai langkah “pencegahan” selepas Iran didakwa terus mempercepatkan pembangunan program nuklearnya, meskipun di tengah-tengah gesaan antarabangsa agar mengekalkan rundingan diplomatik.
Bagaimanapun, Teheran menafikan dakwaan itu dan menuduh Amerika Syarikat serta sekutunya bertindak secara provokatif dan melanggar kedaulatan negaranya.
Khamenei turut menekankan bahawa Iran tidak akan berkompromi dengan sebarang tekanan, baik dalam bentuk ketenteraan mahupun diplomatik.
“Kami tidak akan menyerah. Kami tidak akan berundur. Dan kami tidak akan benarkan sesiapa mencabul maruah dan hak kami,” katanya lagi.
Hubungan antara Iran dan Amerika Syarikat terus tegang sejak pemeteraian perjanjian nuklear 2015 dibatalkan secara sepihak oleh Washington pada 2018, diikuti dengan sekatan ekonomi dan siri insiden ketenteraan di rantau Teluk.
Pemerhati antarabangsa kini bimbang situasi tersebut boleh mencetuskan konflik lebih besar di rantau Asia Barat jika tidak ditangani segera melalui saluran diplomasi. - Agensi
#konflik Israel-Iran #Ayatollah Ali Khamenei #Pemimpin Tertinggi Iran #Iran tidak akan tunduk #pencabulan Amerika