INTERNATIONAL

Badan antarabangsa gesa waspada di perairan Somalia ekoran 3 insiden rampasan kapal

Bernama 16/04/2025 | 00:40 MYT
IMB memberi amaran kepada pemilik dan nakhoda kapal agar tidak leka, sambil menegaskan, meskipun tiga insiden lanun Somalia direkodkan, terdapat kemungkinan lebih banyak rampasan dhow dan kapal nelayan tidak dilaporkan. - Gambar hiasan
MOGADISHU: Dua kapal nelayan dan sebuah kapal layar tradisional atau dhow dirampas di luar pantai Somalia antara 7 Feb dan 16 Mac, menandakan ancaman lanun di rantau itu masih berterusan, menurut laporan terkini yang dikeluarkan pada Selasa oleh sebuah badan antilanun antarabangsa, lapor Xinhua.
Laporan suku pertama Biro Maritim Antarabangsa (IMB) di bawah Dewan Perniagaan Antarabangsa (ICC) mendedahkan seramai 26 anak kapal dijadikan tebusan dalam insiden itu, menunjukkan keupayaan lanun Somalia masih belum terhapus sepenuhnya.
"IMB menasihatkan kapal yang belayar di perairan ini agar berwaspada dan mematuhi versi terkini Amalan Pengurusan Terbaik Industri," kata IMB.
Menurut agensi itu, kesemua anak kapal dan kapal yang terlibat dibebaskan. Pasukan tentera laut antarabangsa yang beroperasi di perairan itu terus bekerjasama dan berhubung dengan kapal dagang serta armada nelayan bagi mengenal pasti dan menangkap kumpulan lanun yang aktif.
IMB turut memberi amaran kepada pemilik dan nakhoda kapal agar tidak leka, sambil menegaskan yang meskipun tiga insiden lanun Somalia direkodkan, terdapat kemungkinan lebih banyak rampasan dhow dan kapal nelayan tidak dilaporkan.
Dalam pada itu, IMB turut menggesa langkah berjaga-jaga diteruskan di perairan Teluk Guinea kerana anak kapal masih terdedah kepada risiko, walaupun jumlah insiden yang dilaporkan di rantau itu dan negara pesisir berhampiran adalah yang terendah dalam tempoh hampir dua dekad.
"Kesemua 13 anak kapal yang diculik dilaporkan berlaku dalam dua serangan berasingan di perairan ini, dengan keseluruhan enam insiden direkodkan pada suku pertama tahun ini," menurut IMB.
"Walaupun kami mengalu-alukan penurunan insiden, keselamatan anak kapal di Teluk Guinea masih berisiko tinggi. Adalah penting untuk mengekalkan kehadiran tentera laut serantau dan antarabangsa yang kukuh bagi menangani insiden ini dan melindungi pelaut," kata Pengarah IMB, Michael Howlett.
-- BERNAMA
#rampasan kapal #IMB #Somalia #lanun