DUNIA

Badan Keselamatan Tertinggi Iran umum luluskan perjanjian kerjasama dengan IAEA

Bernama 15/09/2025 | 08:53 MYT
Perjanjian itu ditandatangani oleh Menteri Luar Iran Abbas Araghchi dan Ketua Pengarah IAEA Rafael Grossi di Kaherah, Mesir awal minggu ini. - Reuters
TEHRAN: Majlis Keselamatan Tertinggi (SNSC) Iran memaklumkan bahawa perjanjian baharu yang ditandatangani antara Iran dan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) telah diluluskan oleh Jawatankuasa Nuklear majlis itu.

Menurut laporan Agensi Berita Republik Islam (IRNA), sekretariat SNSC dalam satu kenyataan pada Ahad berkata perjanjian itu ditandatangani oleh Menteri Luar Iran Abbas Araghchi dan Ketua Pengarah IAEA Rafael Grossi di Kaherah, Mesir awal minggu ini.

Perjanjian bertarikh 9 Sept itu merangkumi pengaturan untuk menyambung semula kerjasama antara Tehran dan IAEA.

Kerjasama itu sebelum ini digantung pada Jun selepas Israel dan Amerika Syarikat melancarkan serangan udara ke atas tiga kemudahan nuklear Iran sepanjang perang 12 hari yang dilancarkan Israel terhadap negara itu pada 13 Jun.

"Teks pengaturan telah diteliti oleh Jawatankuasa Nuklear SNSC, dan apa yang ditandatangani adalah pada asasnya sama dengan apa yang telah diluluskan jawatankuasa terbabit," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menjelaskan Jawatankuasa Nuklear, yang dianggotai pegawai kanan daripada institusi berkaitan sememangnya diberi kuasa oleh SNSC untuk membuat keputusan.

Bagi perjanjian baharu ini, jawatankuasa berkenaan bertindak mengikut prosedur biasa.

SNSC turut memberi penjelasan ringkas mengenai bentuk kerjasama antara Iran dan IAEA di tiga tapak nuklear -- Isfahan, Natanz dan Fordow -- yang diserang AS dan Israel.

Ia menegaskan selepas syarat keselamatan dan perlindungan yang diperlukan dipenuhi, Iran hanya akan menyerahkan laporan kepada IAEA selepas mendapat pandangan SNSC.

Selain itu, kaedah praktikal kerjasama perlu dipersetujui kedua-dua pihak dan sebarang tindakan mesti mendapat kelulusan SNSC.

Badan keselamatan tertinggi Iran itu juga menegaskan pelaksanaan perjanjian baharu dengan IAEA akan dihentikan sekiranya terdapat sebarang tindakan bermusuhan terhadap Iran dan tapak nuklearnya, termasuk mengembalikan semula sekatan PBB yang dimansuhkan di bawah perjanjian nuklear 2015.

SNSC merujuk kepada langkah bulan lalu oleh Britain, Perancis dan Jerman -- dikenali sebagai E3 dan merupakan pihak dalam perjanjian nuklear Iran -- untuk mengaktifkan "mekanisme snapback" bagi memulihkan sekatan.

-- BERNAMA

#perjanjian #Iran #IAEA #snsc #kerjasama #nuklear #abbas araghchi