TEHRAN: Iran mengecam keras kenyataan Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Mark Rutte, dan menyifatkannya sebagai bukti penglibatan secara sengaja Eropah dalam perang tajaan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Republik Islam itu.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei, menerusi kenyataan di platform X menegaskan bahawa mana-mana negara yang menyediakan wilayah, pangkalan tentera, dan infrastruktur bagi membolehkan serangan dilancarkan, tidak boleh melepaskan diri daripada tanggungjawab atas pencerobohan tanpa provokasi tersebut serta kesan buruk yang terhasil daripadanya.
"Pihak yang menyediakan wilayah, pangkalan tentera, dan infrastruktur mereka bagi membolehkan pencerobohan ini berlaku tidak boleh mengelak daripada tanggungjawab atas sumbangan mereka terhadap pencerobohan tanpa provokasi serta akibat buruknya," tulis Baghaei.
Mark Rutte’s repeated admissions of Europe’s willful complicity in the US-Israeli war of aggression against Iran only confirms, once again, that they were not impartial in this brutal unlawful aggression. Those who provided their territories, military bases, and infrastructure to…
— Esmaeil Baqaei (@IRIMFA_SPOX) July 9, 2026
Reaksi Tehran itu menyusul selepas Rutte secara terbuka mempertahankan serangan ketenteraan terbaharu AS ke atas Iran dengan menyifatkannya sebagai tindakan yang amat diperlukan, ekoran dakwaan bahawa Tehran telah melanggar perjanjian gencatan senjata.
Tambah Baghaei, pengakuan berulang kali oleh Rutte mengenai sokongan Eropah terhadap operasi ketenteraan itu membuktikan bahawa blok berkenaan sama sekali tidak bersikap berkecuali sepanjang konflik berlaku.
"Pengakuan berulang kali oleh Mark Rutte mengenai pakatan sulit Eropah dalam perang pencerobohan AS-Israel terhadap Iran hanya mengesahkan, sekali lagi, bahawa mereka tidak berkecuali dalam pencerobohan kejam yang menyalahi undang-undang ini," kata Baghaei.
Berdasarkan laporan media, Rutte turut mendedahkan bahawa negara anggota NATO memberikan sokongan logistik kepada AS, termasuk membenarkan penggunaan pangkalan tentera mereka di Eropah.
Baghaei menyifatkan pujian berterusan Rutte terhadap penglibatan NATO dalam perang yang menyalahi undang-undang antarabangsa tersebut tidak menunjukkan kekuatan, sebaliknya mencerminkan mentaliti pak turut.
"Namun, sikap memuji diri sendiri tanpa henti oleh @SecGenNATO kerana berkhidmat untuk sebuah perang pilihan yang haram tidak mencerminkan kekuatan — ia mendedahkan minda hamba daripada seorang pengikut setia yang membayangkan bahawa amalan membodek boleh memadamkan penghinaan seorang raja," tulis Baghaei.
Beliau turut menegaskan bahawa organisasi yang dianggap tidak berkesan tidak akan menjadi lebih berpengaruh semata-mata dengan meraih sokongan daripada pentadbiran AS.
"Di mata Washington, sebuah pertubuhan yang tidak berkesan tidak boleh diubah menjadi berkesan melalui sikap pembodekan — malah pujian manipulatif sedemikian tidak akan dapat memulihkan harga diri dan integriti peribadi pembodek itu sendiri," tulisnya lagi.