INTERNATIONAL
Bahan kimia dalam plastik dikaitkan dengan kematian akibat penyakit jantung
Bahan kimia dikenali sebagai "phthalates", bertanggungjawab terhadap lebih 350,000 kematian di seluruh dunia pada 2018, menurut hasil kajian para penyelidik. - Gambar hiasan
NEW YORK: Bahan kimia yang lazim digunakan dalam pembungkusan makanan, plastik, losyen dan syampu didapati mempunyai kaitan dengan ratusan ribu kematian akibat penyakit jantung, menurut satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal eBioMedicine pada Selasa, lapor Xinhua.
Ringkasan AI
- Bahan kimia "phthalates" yang digunakan dalam pembungkusan makanan, plastik, losyen, dan syampu dikaitkan dengan lebih 350,000 kematian akibat penyakit jantung pada tahun 2018.
- Kira-kira 75% kematian akibat "phthalates" berlaku di Asia, Timur Tengah, dan rantau Pasifik, menunjukkan kebimbangan terhadap lambakan plastik di negara-negara membangun.
- Phthalates" dikaitkan dengan masalah kesuburan lelaki, penyakit jantung, obesiti, dan ADHD, dan masih dibenarkan dalam pembungkusan makanan di Amerika Syarikat.
Bahan kimia dikenali sebagai "phthalates", bertanggungjawab terhadap lebih 350,000 kematian di seluruh dunia pada 2018, menurut hasil kajian para penyelidik.
Kira-kira 75 peratus daripada jumlah kematian itu direkodkan di Asia, Timur Tengah dan rantau Pasifik, mencerminkan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap lambakan plastik di negara-negara membangun.
"Walaupun penyelidik mengakui pendedahan kepada "phthalates" turut berlaku seiring faktor risiko lain seperti obesiti dan gangguan metabolisme, penemuan itu menyumbang kepada bukti yang semakin meningkat bahawa bahan kimia dalam plastik membawa risiko kesihatan yang serius," lapor The Washington Post.
"Phthalates" merupakan set bahan kimia yang ditambah ke dalam plastik bagi menjadikannya lebih anjal, lembut dan fleksibel.
Dalam produk seperti losyen, syampu dan minyak wangi, ia digunakan untuk mengekalkan bau.
Namun, kerana penggunaannya yang begitu meluas, sesetengah penyelidik menggelarnya sebagai "bahan kimia di mana-mana", dan ia kini menjadi kebimbangan dalam kalangan saintis.
Dalam kajian epidemiologi, "phthalates" dikaitkan dengan masalah kesuburan lelaki, penyakit jantung, obesiti serta masalah hiperaktif dan kurang tumpuan (ADHD).
Di Amerika Syarikat, sembilan jenis "phthalates" masih dibenarkan untuk digunakan dalam pembungkusan makanan, menurut laporan itu.
-- BERNAMA