DUNIA

AS bakal kurangkan penerbangan di 40 lapangan terbang jika penutupan kerajaan berterusan

Astro Awani 06/11/2025 | 00:10 MYT
Setiausaha Pengangkutan, Sean Duffy, bersama Naib Presiden JD Vance membincangkan kesan penutupan kerajaan terhadap industri penerbangan. - Foto AP
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dijangka mengurangkan kapasiti perjalanan udara sebanyak 10 peratus di 40 lapangan terbang utama bermula pagi Jumaat ini sekiranya penutupan kerajaan terus berlanjutan, menurut amaran Setiausaha Pengangkutan, Sean Duffy.

Langkah itu diumumkan susulan laporan keletihan dalam kalangan pengawal trafik udara yang masih bekerja tanpa gaji sejak penutupan bermula pada 1 Oktober lalu.

Ketua Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), Bryan Bedford, menyifatkan situasi itu sebagai luar biasa dan menambah bahawa tekanan sistem semakin meningkat.

“Penutupan ini bukan sahaja luar biasa, malah hakikat bahawa pengawal kami belum menerima gaji selama sebulan juga luar biasa,” kata Bedford dalam taklimat bersama Duffy pada Rabu.

Penutupan kerajaan kali ini merupakan yang terpanjang dalam sejarah AS.

Ramai pengawal trafik udara dilaporkan mengambil cuti sakit atau mencari pekerjaan sampingan untuk menampung keperluan hidup, termasuk memandu Uber dan DoorDash.

Senarai lapangan terbang yang terjejas akan diumumkan pada Khamis.

Pembatalan dijangka menjejaskan antara 3,500 hingga 4,000 penerbangan setiap hari, melibatkan lokasi bertrafik tinggi di seluruh negara.

Duffy menegaskan bahawa sistem penerbangan masih selamat, dan pengurangan penerbangan adalah langkah pencegahan untuk mengekalkan keselamatan serta kecekapan operasi.

Namun, Bedford memberi amaran bahawa jika tekanan berterusan, langkah sekatan tambahan mungkin diperlukan.

Sejak dana kerajaan kehabisan, kebanyakan kakitangan persekutuan telah diarahkan pulang dan hanya akan dibayar selepas kerajaan dibuka semula.

Mereka yang dikategorikan sebagai ‘penting’, seperti pengawal trafik udara, masih perlu bekerja tanpa gaji.

Lapangan terbang mula merasai kesan penutupan sejurus ia bermula, dengan beberapa lokasi terpaksa menghentikan operasi selama berjam-jam akibat kekurangan kakitangan.

Separuh daripada 30 lapangan terbang utama kini mengalami kekurangan tenaga kerja.

Duffy sebelum ini turut memberi amaran bahawa pengawal yang tidak hadir bekerja berisiko dipecat.

“Mereka terpaksa memilih sama ada datang bekerja tanpa gaji atau mencari pendapatan lain untuk menyara keluarga,” katanya dalam temu bual bersama ABC.







#perjalanan udara #penutupan kerajaan #pegawai trafik udara #Sean Duffy