23 Delegasi Malaysia Bebas dari Israel, Kini di Istanbul untuk Pemeriksaan & Sokongan – Ikuti Perkembangan Terkini di sini
DUNIA

Balai polis diarah roboh susulan insiden lubang benam besar di Bangkok

Astro Awani 05/10/2025 | 05:50 MYT
Bangunan Balai Polis Samsen di Bangkok mula dirobohkan selepas berlaku lubang benam besar akibat gelongsoran tanah susulan hujan lebat. -Foto Chadchart Sittipunt
BANGKOK: Kerja-kerja merobohkan bangunan Balai Polis Samsen yang terletak di Jalan Samsen, Daerah Dusit, dimulakan malam Sabtu susulan insiden lubang benam besar yang berlaku berhampiran kawasan berkenaan.


Ringkasan AI
  • Bangunan Balai Polis Samsen di Bangkok mula dirobohkan selepas berlaku lubang benam besar akibat gelongsoran tanah susulan hujan lebat.
  • Lubang benam berukuran 30x30 meter dan lebih 50 meter dalam dipercayai berpunca daripada keadaan tanah yang lembut sekitar tapak pembinaan MRT Laluan Ungu.
  • Bangunan flat polis dan Hospital Vajira kekal stabil, manakala pembukaan semula Jalan Samsen ditangguhkan demi keselamatan awam.


Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt, berkata struktur bangunan empat tingkat itu mengalami pergerakan tanah dan keretakan serius selepas hujan lebat menyebabkan tanah di bawah bangunan mengalami gelongsoran.

“Pasukan teknikal telah menggunakan robot untuk menanggalkan tingkap dan bahagian luar bangunan sebelum kerja perobohan dijalankan secara berperingkat,” katanya dalam kenyataan media.

Setakat malam Sabtu, sebanyak 3,800 meter padu pasir telah dituang ke dalam lubang benam berkenaan, manakala tambahan 1,200 meter padu lagi dijangka dimasukkan pagi Ahad.

Lubang benam itu terbentuk pada 24 September lalu dengan ukuran asal 30 meter lebar, 30 meter panjang dan lebih 50 meter dalam.

Ia dipercayai berpunca daripada keadaan tanah yang lembut sekitar tapak pembinaan stesen bawah tanah Laluan Ungu MRT berhampiran Hospital Vajira.

Walaupun bangunan balai polis mengalami kerosakan teruk, bangunan flat polis dan premis komersial bersebelahan dilaporkan kekal stabil.

Hospital Vajira turut disahkan selamat dan beroperasi seperti biasa.

Pihak berkuasa memutuskan untuk merobohkan bangunan balai polis tersebut demi keselamatan awam, sekali gus menangguhkan pembukaan semula Jalan Samsen sehingga diberitahu kelak.









#lubang benam besar #Balai Polis Samsen #Jalan Samsen #bangunan dirobohkan