Bandar Jepun batalkan festival sakura susulan tingkah laku pelancong tidak beradab

Lonjakan pelawat telah menyebabkan kesesakan lalu lintas kronik, pembuangan sampah merata-rata serta pencerobohan kawasan persendirian. - Foto X/OpenList
TOKYO: Pihak berkuasa di Fujiyoshida, sebuah bandar berhampiran Gunung Fuji, membatalkan penganjuran festival bunga sakura tahun ini selepas peningkatan mendadak jumlah pelancong disifatkan tidak lagi mampu dikawal oleh komuniti setempat.
Datuk Bandar Fujiyoshida, Shigeru Horiuchi, berkata lonjakan pelawat telah menyebabkan kesesakan lalu lintas kronik, pembuangan sampah merata-rata serta pencerobohan kawasan persendirian, termasuk kes pelancong menggunakan tandas tanpa kebenaran dan membuang air di laman rumah penduduk.
Festival yang diadakan sejak sedekad lalu di Taman Arakurayama Sengen sebelum ini bertujuan meningkatkan daya tarikan pelancongan, namun pihak berkuasa berkata jumlah pengunjung kini mencecah sehingga 10,000 orang sehari ketika kemuncak musim sakura, melebihi kapasiti bandar itu.
Menurut pihak bandar, fenomena pelancongan berlebihan itu didorong oleh kelemahan yen serta populariti meluas di media sosial.
Walaupun festival dibatalkan, Fujiyoshida menjangkakan peningkatan pelawat tetap berlaku pada April dan Mei.
Jepun sebelum ini mengambil beberapa langkah lain bagi menangani pelancongan tidak terkawal, termasuk menutup lokasi bergambar popular di Fujikawaguchiko pada 2024 susulan aduan penduduk mengenai tingkah laku pelancong.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


