NASHVILLE: Satu-satunya banduan wanita di hukuman mati Tennessee, Amerika Syarikat, Christa Pike, dilapor dibenarkan keluar dari hospital dan dihantar semula ke penjara selepas terselamat daripada pelaksanaan hukuman mati penghujung September lalu, lapor BBC.
Pasukan peguam belanya mengesahkan pada Sabtu bahawa Pike, 50, dipindahkan semula ke Debra K. Johnson Rehabilitation Center, iaitu penjara tempat dia menjalani hukuman sejak lebih 30 tahun lalu, dan akan terus menerima rawatan perubatan di situ.
Laporan perubatan menunjukkan Pike sebelum ini berada dalam keadaan kritikal selepas terselamat daripada dua dos suntikan maut pentobarbital yang diberikan dalam prosedur pelaksanaan hukuman mati pada 30 Sept.
Bagaimanapun, keadaan kesihatannya dilaporkan bertambah baik apabila dia mula sedar dan boleh bercakap semula pada awal minggu ini.
Kes itu disifatkan antara yang paling jarang berlaku dalam sejarah hukuman mati moden di Amerika Syarikat selepas Pike terselamat daripada pelaksanaan hukuman mati melalui suntikan maut.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, peguam Pike berkata anak guam mereka berterima kasih kepada pasukan penyelamat dan kakitangan perubatan yang memberikannya rawatan sepanjang tempoh kritikal berkenaan.
Setakat ini, butiran mengenai rawatan susulan yang diterima Pike di penjara masih belum jelas, namun pasukan peguamnya sebelum ini memaklumkan bahawa wanita itu berdepan tempoh pemulihan yang panjang.
Pihak Jabatan Pemulihan Tennessee juga masih belum mendedahkan punca sebenar mengapa prosedur hukuman itu tidak berjalan seperti yang dirancang, walaupun mereka mempertahankan kaedah yang digunakan sebelum ini.
Dalam prosiding mahkamah pada Rabu, John W. Ayers, Penolong Peguam Negara Tennessee, berkata pihak negeri masih belum memutuskan sama ada akan meneruskan semula pelaksanaan hukuman mati terhadap Pike atau sebaliknya.
Susulan itu, mahkamah mengarahkan pihak berkuasa memelihara semua bahan bukti berkaitan termasuk jarum dan saluran intravena (IV) bagi tujuan siasatan lanjut.
Menurut rekod kes, Pike berusia 18 tahun pada 1995 ketika dia bersama bekas kekasihnya, Tadaryl Shipp, mendera, menyeksa dan membunuh Colleen Slemmer, 19, di sebuah kem latihan pekerjaan.
Shipp tidak dijatuhi hukuman mati kerana masih di bawah umur 18 tahun ketika jenayah itu dilakukan dan kini menjalani hukuman penjara seumur hidup tanpa peluang parol.
Pike sepatutnya menjadi wanita pertama yang dihukum mati di Tennessee dalam tempoh lebih 200 tahun, namun permohonan pengampunannya ditolak oleh Mahkamah Agung Amerika Syarikat dan Gabenor Tennessee, Bill Lee.
Selepas kegagalan prosedur itu, pasukan peguam belanya memperbaharui rayuan supaya hukuman mati tersebut ditukarkan kepada penjara seumur hidup tanpa peluang parol atas faktor trauma psikologi dan keadaan kesihatannya.