Antara perkara yang diketengahkan ialah Dhaka menuntut permohonan maaf rasmi daripada Islamabad berhubung insiden-insiden yang berlaku semasa konflik pada 1971 yang membawa kepada pembentukan Bangladesh.
Selain itu, Bangladesh turut mengemukakan tuntutan berkaitan penyelesaian kewangan berjumlah US$4.52 bilion, merangkumi bahagian negara itu dalam rizab asing Pakistan sebelum kemerdekaan, dana pencen penjawat awam, serta bantuan luar yang belum diselesaikan selepas pemisahan.
"Kami telah membangkitkan isu-isu sejarah yang masih belum selesai dengan Pakistan, termasuk permohonan maaf secara terbuka semasa perang kemerdekaan 1971 dan tuntutan kewangan yang masih tertunggak," kata Setiausaha Luar Negeri Bangladesh Jashim Uddin kepada pemberita selepas mesyuarat dengan rakan sejawatnya dari Pakistan, Amna Baloch.
Menurut beliau, Pakistan memberi jaminan untuk terus berunding mengenai perkara-perkara itu, sambil menegaskan bahawa penyelesaian isu-isu ini penting bagi membina asas hubungan dua hala yang kukuh.
Amna Baloch, yang tiba di Dhaka pada Rabu bagi lawatan rasmi, tidak mengeluarkan sebarang kenyataan sepanjang kunjungan beliau.
Dalam mesyuarat itu, Dhaka turut menekankan isu pemulangan lebih 324,000 pelarian asal Pakistan -- dikenali sebagai "Bihari" -- yang masih menetap di kem-kem pelarian di Bangladesh lebih lima dekad selepas perang berakhir.
Bangladesh menganggarkan bahawa konflik sembilan bulan itu telah meragut nyawa kira-kira 3 juta orang.
-- BERNAMA
