DUNIA

Bangladesh lancar undi pos luar negara pertama menjelang pilihan raya umum

Bernama 14/01/2026 | 04:40 MYT
Pasukan keselamatan berkawal di hadapan bangunan Suruhanjaya Pilihan Raya Bangladesh di Dhaka. - Gambar fail/ Reuters
DHAKA: Bangladesh mula menghantar kertas undi pos kepada pengundi di 148 buah negara, sekali gus membolehkan ekspatriat mengambil bahagian dalam pilihan raya nasional buat kali pertama ketika negara itu bersedia bagi Pilihan Raya Umum (PRU) pada 12 Feb ini di bawah pentadbiran kerajaan sementara, lapor Anadolu Ajansi.


Ringkasan AI
  • Bangladesh menghantar kertas undi pos kepada pengundi di 148 negara bagi membolehkan ekspatriat menyertai Pilihan Raya Umum (PRU) pada 12 Feb ini, pertama kali dalam sejarah negara itu.
  • Suruhanjaya Pilihan Raya melancarkan aplikasi mudah alih bagi memudahkan pendaftaran pengundi luar negara, dengan 772,542 pengundi Bangladesh mendaftar sehingga tarikh tutup pendaftaran pada 5 Jan.
  • Kerajaan sementara di bawah Muhammad Yunus dinilai telah memenuhi tuntutan pekerja migran Bangladesh, yang dianggap sebagai tonggak ekonomi utama negara, dengan rekod kiriman wang sebanyak US$32.8 bilion tahun lalu.


Langkah itu membolehkan rakyat Bangladesh di luar negara melaksanakan hak mengundi mereka selepas tuntutan bertahun-tahun untuk penyertaan secara tanpa hadir.

Pilihan raya berkenaan akan diadakan di bawah kerajaan sementara diterajui Muhammad Yunus selepas kebangkitan rakyat yang memaksa bekas Perdana Menteri Sheikh Hasina melarikan diri ke India pada 5 Ogos 2024.

Bagi memudahkan penyertaan pengundi migran, Suruhanjaya Pilihan Raya melancarkan aplikasi mudah alih tahun lepas yang membolehkan ekspatriat mendaftar untuk menerima arahan dan bahan undi pos. Pendaftaran dibuka selama kira-kira dua bulan dan ditutup pada 5 Jan lepas.

Pegawai yang menyelia pendaftaran pemilih luar negara, Salim Ahmad Khan berkata seramai 772,542 pengundi Bangladesh yang menetap di luar negara telah mendaftar.

Beliau memberitahu Anadolu bahawa pengundian melalui mel akan bermula selepas Suruhanjaya Pilihan Raya memperuntukkan simbol pilihan raya kepada calon pada 22 Jan.

Walaupun tiada angka rasmi yang disahkan mengenai jumlah ekspatriat Bangladesh di seluruh dunia, anggaran menunjukkan jumlahnya dalam lingkungan 12 juta hingga 15 juta orang, kata Khan.

Beliau berkata Suruhanjaya Pilihan Raya "menyasarkan kira-kira lima juta" undi ekspatriat melalui sistem undi pos itu.

Profesor Sains Politik di Universiti Dhaka, Kazi Mohammad Mahbobor Rahman memberitahu Anadolu bahawa kerajaan sementara telah memenuhi tuntutan sekian lama pekerja migran Bangladesh, yang disifatkan beliau sebagai "tonggak ekonomi utama" negara dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar US$462 bilion.

Bangladesh menerima rekod kiriman wang sebanyak US$32.8 bilion tahun lepas, paras tahunan tertinggi sepanjang masa di bawah pentadbiran Yunus, ketika ekonomi negara Asia Selatan itu berkembang sekitar 4.5 peratus meskipun berdepan ketidaktentuan politik.

Sambil mengambil kira kebimbangan mengenai kemungkinan kelewatan undi pos akibat jarak jauh, Rahman berkata sistem itu "kekal sebagai pilihan paling mudah berbanding pilihan lain yang sedia ada di seluruh dunia, termasuk di Amerika Syarikat."

Beliau berkata jika berlaku persaingan sengit, undi migran "boleh menjadi faktor penentu."

Lebih 127.7 juta pengundi berdaftar untuk mengundi dalam pilihan raya umum akan datang, meningkat daripada 119.6 juta pada 2024, menurut angka rasmi.

-- BERNAMA



#Bangladesh #pilihan raya umum #undi pos #Malaysia