INTERNATIONAL
Bangladesh meterai perjanjian Artemis dengan NASA untuk penerokaan angkasa
Bangladesh, negara ke-54 yang menyertai inisiatif Artemis Accords, dijangka memperoleh manfaat besar dari segi pemindahan teknologi. - Foto NASA
NEW DELHI: Bangladesh pada Selasa memeterai perjanjian bersama Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) Amerika Syarikat bagi tujuan penerokaan angkasa lepas secara bukan ketenteraan.
Perjanjian yang dimeterai merupakan penyertaan rasmi Bangladesh ke dalam "Artemis Accords", satu set prinsip tidak mengikat yang diperkenalkan oleh Amerika Syarikat dan tujuh negara lain pada 2020, bertujuan membimbing penerokaan serta penggunaan angkasa lepas bagi tujuan awam pada abad ke-21.
Bangladesh, negara ke-54 yang menyertai inisiatif itu dijangka memperoleh manfaat besar dari segi pemindahan teknologi, kerjasama ekonomi dan kolaborasi saintifik bersama institusi-institusi terkemuka dunia, kata Setiausaha Pertahanan Bangladesh, Mohammad Ashraf Uddin seperti dilaporkan media tempatan.
Beliau juga berkata bahawa kerjasama ini akan menyumbang secara langsung kepada projek satelit oleh Pertubuhan Penyelidikan Angkasa dan Penderiaan Jauh Bangladesh (SPARRSO) serta inisiatif angkasa lepas yang bakal dilaksanakan pada masa hadapan.
"Dengan termeterainya perjanjian ini hari ini, Bangladesh menyatakan komitmen yang kuat dan signifikan terhadap penerokaan angkasa secara aman, bertanggungjawab dan telus," kata Pemangku Pentadbir NASA Janet Petro dalam satu mesej video.
-- BERNAMA