DUNIA

Bangladesh sambut ulang tahun pertama kebangkitan rakyat tumbangkan Hasina

Bernama 05/08/2025 | 21:45 MYT
Orang ramai berhimpun bagi memperingati "Hari Kebangkitan Julai" sempena ulang tahun kejatuhan kerajaan Liga Awami, di Dhaka, Bangladesh, pada Selasa. - Gambar AP
DHAKA: Kerajaan Bangladesh dan parti-parti politik utama pada Selasa meraikan ulang tahun pertama kebangkitan rakyat yang menumbangkan bekas Perdana Menteri, Sheikh Hasina tahun lepas, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Bagi memperingati ulang tahun pertama yang digelar sebagai "kemenangan rakyat", kerajaan telah mengumumkan pelbagai acara di seluruh negara.

Hari bersejarah yang jatuh pada Selasa dikenali sebagai Hari Kebangkitan Julai dan telah diisytiharkan sebagai cuti umum.

Penerima Hadiah Nobel dan ahli ekonomi terkemuka, Muhammad Yunus yang kini mengetuai kerajaan sementara Bangladesh, dijadual membacakan Deklarasi Julai - merujuk kepada siri tunjuk perasaan yang bermula pada Julai dan memuncak dengan penyingkiran Hasina pada suatu petang Ogos.

Deklarasi itu dijangka akan merangkumi tuntutan para pelajar terhadap pembaharuan besar-besaran dalam sistem pemerintahan bagi menghalang kembalinya pemerintahan autoritarian serta mengabsahkan kebangkitan itu.

Cadangan pembaharuan itu telah dibahaskan dalam pelbagai siri rundingan merentas spektrum politik dalam beberapa siri mesyuarat sepanjang beberapa bulan lepas.

Kerajaan turut menjemput rakyat daripada pelbagai latar belakang untuk menghadiri acara utama di Kompleks Parlimen Kebangsaan di Dhaka, termasuk menyediakan lapan perkhidmatan tren antara bandar bagi memudahkan perjalanan.

Pemimpin parti-parti politik utama turut dijemput.

Parti politik terbesar negara itu, Parti Nasionalis Bangladesh (BNP), mengumumkan sambutan selama dua hari, manakala parti Islam terbesar, Bangladesh Jamaat-e-Islami, akan menyumbang persembahan lagu-lagu Islam oleh sayap kebudayaannya di kompleks parlimen itu.

Lebih sebulan tunjuk perasaan ganas yang diketuai pelajar telah menyingkirkan Hasina daripada tampuk pemerintahan pada 5 Ogos 2024. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan hampir 1,400 orang terkorban dalam pertempuran sepanjang kebangkitan itu.

Hasina, yang memerintah Bangladesh selama lebih 15 tahun berturut-turut dan sering dikritik sebagai pemerintah autoritarian, melarikan diri ke India dengan menaiki helikopter tentera.

Tiga hari selepas penyingkirannya, sebuah pentadbiran sementara diketuai Muhammad Yunus mengambil alih pemerintahan negara.

-- BERNAMA



#Bangladesh #Hari Kebangkitan Julai #Sheikh Hasina #Muhammad Yunus #Deklarasi Julai