COTABATO: Wilayah Autonomi Bangsamoro di Muslim Mindanao (BARMM), yang majoriti penduduknya beragama Islam di selatan Filipina, mengadakan pilihan raya Parlimen wilayah buat kali pertama bagi membolehkannya bergerak lebih dekat ke arah pemerintahan sendiri selepas beberapa dekad konflik dan keganasan.
Pegawai pilihan raya memaklumkan peratusan keluar mengundi melebihi 80 peratus. Bagaimanapun, proses pengundian terpaksa dilanjutkan ke hari kedua di beberapa kawasan susulan cubaan penipuan.
Insiden keganasan berkaitan pilihan raya di ibu negeri wilayah itu turut meragut sekurang-kurangnya tiga nyawa, manakala lebih 20,000 anggota tentera dan polis dikerahkan untuk mengawal keselamatan di pusat mengundi.
Suruhanjaya Pilihan Raya melanjutkan tempoh pengundian di 36 daripada 86 kawasan mengundi di bandar Maluso, Pulau Basilan, selepas pihak berkuasa menemukan kertas undi yang telah ditandakan lebih awal.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (COMELEC), George Erwin Garcia, memuji kadar penyertaan tinggi pengundi dan menegaskan bahawa dalang di sebalik cubaan penipuan itu akan didakwa atas kesalahan sabotaj pilihan raya.
BARMM ditubuhkan di bawah perjanjian damai 2014 bagi menggantikan wilayah autonomi terdahulu dengan wilayah yang lebih luas serta menerima peruntukan kewangan yang lebih besar.
Sebelum ini, kumpulan pejuang Muslim terbesar di Filipina, Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), bersetuju menggugurkan tuntutan kemerdekaan sebagai sebahagian daripada perjanjian yang memberikan autonomi lebih luas kepada wilayah tersebut.
Sejak 1970-an, dianggarkan kira-kira 150,000 pejuang dan orang awam terbunuh dalam konflik di selatan Filipina yang menjejaskan pembangunan ekonomi di antara wilayah termiskin negara itu.