Terkini: Kes Pelajar Jatuh dari Asrama di Sabak Bernam – Ikuti perkembangan di sini
DUNIA

Bangunan Parlimen Kepulauan Marshall musnah dalam kebakaran

Astro Awani 27/08/2025 | 01:20 MYT
Api marak di bangunan Parlimen Nasional Kepulauan Marshall di Majuro, dalam insiden kebakaran lewat malam yang memusnahkan struktur utama. - Foto REUTERS
MAJURO: Bangunan Parlimen Kepulauan Marshall, dikenali sebagai Nitijela, musnah dalam kebakaran besar yang berlaku sekitar tengah malam Isnin, mengejutkan penduduk dan pemimpin negara kepulauan Pasifik itu.


Ringkasan AI
  • Bangunan Parlimen Kepulauan Marshall musnah dalam kebakaran tengah malam, ketika sidang belanjawan sedang berlangsung; semua dokumen rasmi dilaporkan hangus.
  • Pasukan bomba gagal selamatkan struktur utama akibat kekurangan peralatan dan tekanan air; punca awal dipercayai bermula dari treler kontena berhampiran.
  • Kerajaan rancang lokasi alternatif untuk sidang parlimen; insiden cetus takziah antarabangsa dan dianggap tamparan besar kepada simbol demokrasi negara.


Pasukan bomba tiba di lokasi selepas menerima panggilan kecemasan sekitar jam 12 tengah malam, namun gagal menyelamatkan struktur utama bangunan yang menempatkan dewan parlimen, pejabat, perpustakaan dan arkib rasmi negara.

Ketika kejadian, parlimen sedang bersidang bagi membincangkan belanjawan negara.

Jurucakap kerajaan menyatakan kebakaran dipercayai bermula dari sebuah treler kontena berhampiran bangunan utama.

Pasukan bomba tempatan dilaporkan kekurangan peralatan dan tekanan air, manakala trak bomba polis tidak dapat digunakan kerana masalah penyelenggaraan kritikal.

Editor Marshall Islands Journal, Giff Johnson, menyifatkan insiden itu sebagai “tidak dapat dibayangkan”, dengan semua rekod dan dokumen rasmi dilaporkan musnah.

Bangunan tersebut dianggap sebagai simbol kemerdekaan dan demokrasi negara, dan pemusnahannya memberi kesan mendalam kepada rakyat.

Kerajaan kini sedang merancang lokasi alternatif untuk meneruskan sidang parlimen, sementara siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran.

Presiden Hilda Heine belum mengeluarkan kenyataan rasmi, namun pemimpin serantau dan antarabangsa termasuk Taiwan telah menyampaikan ucapan takziah dan tawaran bantuan.

Kepulauan Marshall, yang terletak di antara Hawaii dan Australia, mempunyai populasi sekitar 42,000 orang dan mengekalkan hubungan diplomatik rapat dengan Amerika Syarikat serta Taiwan.









#kebakaran #bangunan Parlimen #Nitijela #Kepulauan Marshall