Skip to main content

Dunia

Banjir: 55 rakyat Malaysia masih hilang di Nepal, 72 disahkan selamat di Tibet

Nepalese army soldiers stand in the aftermath of flash floods in Devighat in the Nuwakot district in Nepal, Thursday, Aug. 27, 2026. (AP Photo/Niranjan Shrestha)
Misi mencari dan menyelamat mangsa banjir di Nepal masih diteruskan - Foto/ AP
Advertisement

KUALA LUMPUR: Tiada rakyat Malaysia dalam senarai 771 orang yang telah diselamatkan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Rasuwa, Nepal, berikutan bencana banjir yang melanda kawasan itu, setakat Jumaat.

Menurut kenyataan Wisma Putra pada Sabtu, 55 rakyat Malaysia masih belum dapat dihubungi, manakala dua lagi telah berjaya dihubungi.

National Disaster Risk Reduction and Management Authority of Nepal melaporkan bahawa 771 orang telah diselamatkan, termasuk 116 warganegara asing sehingga petang Jumaat.

“Berdasarkan senarai rasmi yang tersedia pada peringkat ini, tiada rakyat Malaysia dikenal pasti dalam kalangan warganegara asing yang telah diselamatkan itu,” menurut kenyataan itu.

Tambah Wisma Putra, Bilik Operasi Kementerian di Putrajaya telah beroperasi 24 jam sejak 27 Ogos 2026 bagi menyelaras maklumat dan membantu rakyat Malaysia di kawasan terjejas serta ahli keluarga mereka.

Kementerian dalam kenyataan sama turut memaklumkan, 72 rakyat Malaysia di Darchen, Tibet, China, telah disahkan selamat dan berada dalam keadaan sihat.

“Kedutaan Besar Malaysia di Beijing sedang berhubung dengan kumpulan tersebut, dan ahli keluarga mereka juga mengetahui keadaan mereka.  

“Kedutaan Besar sedang memberikan bantuan konsular, termasuk membantu urusan perjalanan mereka untuk meninggalkan Wilayah Autonomi Tibet, China.

“Kementerian turut menerima maklumat daripada pihak berkuasa China dan ahli keluarga mengenai 36 rakyat Malaysia yang kini dilaporkan masih belum dapat dihubungi di kawasan yang mengalami gangguan telekomunikasi,” tambah kenyataan itu.

Ujarnya lagi, maklumat yang diterima turut disemak dengan laporan mengenai rakyat Malaysia di Nepal bagi mengenal pasti sebarang pertindihan, sementara proses pengesahan diteruskan.

Pada 26 Ogos lalu, satu runtuhan glasier berhampiran sempadan Nepal–Tibet mencetuskan satu bencana banjir kilat rentas sempadan yang melanda Gyirong di Tibet dan Rasuwa di Nepal, manakala gangguan banjir di Darchen dipercayai merupakan kejadian berasingan. 

Must Watch Video

Advertisement