Belasungkawa Allahyarham Bung Moktar Radin | Ikuti Perkembangan Terkini Perjalanan Terakhir di sini
DUNIA

Banjir Aceh: 16 daerah masih terputus hubungan, bantuan sukar masuk

Madiha Abdullah 05/12/2025 | 11:00 MYT
Masyarakat di beberapa kawasan masih terasing apabila akses jalan utama terputus susulan banjir di Aceh. - Foto Reuters/Ajeng Dinar Ulfiana
KUALA LUMPUR: Usaha menghantar bantuan ke daerah terjejas banjir di Aceh, Indonesia berdepan kesukaran susulan laluan darat yang terputus dan keadaan geografi yang mencabar.


Ringkasan AI
  • Akses bantuan ke daerah terjejas banjir di Aceh terhalang disebabkan laluan darat terputus dan kekurangan makanan amat ketara.
  • Wilayah paling terjejas termasuk Aceh Tamiang, Aceh Utara, Aceh Timur, Aceh Tengah dan Aceh Tenggara, melibatkan kira-kira 16 daerah yang dilanda banjir besar.
  • Sistem koordinasi yang lebih berkesan disediakan untuk penghantaran bantuan, termasuk penggunaan pesawat dan helikopter bagi kawasan terpencil yang tidak dapat diakses melalui jalan darat.


Menurut Penyelaras Pusat Bantuan Sosial Aceh Peduli Bencana, Ismet Abdullah, masyarakat di beberapa kawasan masih terasing apabila akses jalan utama terputus, menyebabkan pasukan penyelamat sukar menyalurkan bekalan asas.

“Sebahagian masyarakat kita masih terasing kerana laluan darat rosak dan terputus. Ini menyebabkan bantuan belum dapat dihantar dengan sempurna, dan data yang masuk menunjukkan kekurangan makanan yang sangat ketara,” katanya ketika dihubungi melalui panggilan video dalam program Pantau Agenda Reformasi, pada Jumaat.

Pantau Agenda Reformasi: Pasca banjir di Aceh


Menurut Ismet, wilayah yang paling terjejas termasuk Aceh Tamiang, Aceh Utara, Aceh Timur, Aceh Tengah dan Aceh Tenggara, melibatkan kira-kira 16 daerah yang dilanda banjir besar.

Beliau memaklumkan, sukarelawan di Aceh kini sedang bekerjasama dengan kerajaan daerah untuk memastikan bekalan logistik dapat disalurkan ke kawasan terpencil secepat mungkin.

Sementara itu, Ismet memaklumkan bahawa pihak berkuasa telah menyediakan sistem koordinasi yang lebih berkesan bagi menguruskan penghantaran bantuan, termasuk penggunaan pesawat dan helikopter untuk memasuki kawasan yang langsung tidak dapat diakses melalui jalan darat.

“Daerah-daerah terpencil itu perlu dihantar bantuan melalui pesawat atau helikopter supaya penduduk yang terjejas dapat menerima makanan. Ada laporan berlaku kekurangan makanan serius di kawasan yang terputus hubungan akibat banjir,” katanya.

Beliau turut menggesa lebih banyak sokongan antarabangsa bagi mempercepat usaha membantu mangsa kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

“Kita harapkan sokongan lebih besar daripada NGO antarabangsa untuk membantu semua operasi pemulihan. Banyak rumah rosak teruk, jalan terputus dan sumber logistik sangat diperlukan oleh masyarakat yang terjejas ini,” katanya.

Banjir besar yang melanda beberapa wilayah di Aceh sejak minggu lalu menyebabkan ribuan penduduk berpindah dan kerosakan ketara pada infrastruktur, termasuk jambatan, jalan raya dan bekalan air bersih.







#banjir #Aceh #bantuan sukar masuk #Pusat Bantuan Sosial Aceh Peduli Bencana