Banjir besar: Kabinet Jerman bincang pakej bantuan

Khairunnisa Kasnoon
Julai 21, 2021 16:30 MYT
Banjir buruk yang berlaku di Jerman menyaksikan banyak kemusnahan harta benda dan fasiliti awam. - Gambar/ Reuters
KABINET Jerman mengadakan pertemuan pada Rabu bagi membincangkan pakej bantuan segera untuk mangsa banjir selain mempertimbangkan rancangan jangka panjang membina semula kawasan yang musnah.
Canselor Angela Merkel dan barisan menteri dijangka akan meluluskan pakej sekitar €400 juta yang dibiayai secara bersama oleh kerajaan Persekutuan dan negeri, bagi membantu mangsa menangani masalah pasca banjir serta memperbaiki kerosakan.
Kerajaan juga berharap dapat memberi dana untuk pembangunan semula namun jumlahnya tidak dinyatakan sehingga laporan kos kerosakan keseluruhan akibat banjir besar luar biasa itu diperolehi.
Sekurang-kurangnya 171 orang dilaporkan terbunuh di Jerman sehingga kini selepas air sungai melimpah susulan hujan lebat berterusan minggu lalu.
Sementara itu 31 orang turut dilaporkan terkorban di negara jiran Belgium, menjadikan jumlah kematian di kedua-dua negara 202 orang.
#Angela Merkel #Belgium #banjir #kabinet #Jerman #mangsa banjir #jumlah kematian