Banjir di Vietnam ragut sembilan nyawa, hampir 16,000 penduduk berpindah

Setakat 11 pagi 19 November, banjir telah merosakkan 85 rumah dan menenggelamkan 20,454 kediaman. - AP
HANOI: Hujan lebat berterusan dan banjir meragut sembilan nyawa, enam hilang dan mencederakan 19 orang selain mengakibatkan hampir 16,000 penduduk dipindahkan di kawasan tengah dan Wilayah Tanah Tinggi Tengah Vietnam, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).
Menurut laporan awal Jabatan Pengurusan Bencana dan Pengurusan Daik Vietnam (VDDMA) di bawah Kementerian Pertanian dan Alam Sekitar, setakat 11 pagi 19 November, banjir telah merosakkan 85 rumah dan menenggelamkan 20,454 kediaman, meningkat hampir 6,700 berbanding sehari sebelumnya.
Banjir turut merosakkan hampir 9,950 hektar tanaman padi dan tanaman lain serta menyebabkan lebih 6,400 ternakan dan ayam itik mati atau hanyut.
Rangkaian pengangkutan terus terganggu teruk akibat tanah runtuh dan banjir, manakala sistem daik pantai dan sungai mengalami kerosakan besar.
Paras air di sungai utama kekal tinggi, menenggelamkan beberapa sistem daik di kawasan terjejas sementara pihak berkuasa meneruskan operasi mencari dan menyelamat, memantau takungan, mengawal lalu lintas di kawasan banjir dan risiko tanah runtuh serta menilai kerosakan berterusan.
Dalam keadaan memburuk di timur Dak Lak, Timbalan Perdana Menteri Ho Quoc Dung hari ini meninjau kawasan yang teruk dilanda banjir dan mengarahkan pihak berkuasa segera memindahkan penduduk dari kawasan berisiko tinggi sebelum malam, termasuk menggunakan helikopter jika cuaca mengizinkan.
Hampir semua masyarakat dan mukim di timur laut Dak Lak masih ditenggelami banjir besar, dengan operasi menyelamat terhalang oleh cuaca buruk dan akses yang terhad.
Sesetengah kawasan kekurangan bot, manakala yang lain tidak dapat didekati akibat paras air yang naik dengan cepat.
Empangan hidroelektrik Sungai Ba Ha melepaskan lebih 10,000 m3/s air pada pagi 19 Nov, memburukkan lagi keadaan banjir di kawasan hilir.
Wilayah Ketenteraan 5 telah menggerakkan tambahan anggota dan peralatan bagi membantu usaha pemindahan. Menjelang awal petang, Lebuhraya Nasional 1 dan semua laluan utama lain di seluruh Dak Lak terputus, menyukarkan operasi menyelamat dan bantuan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


