KUALA LUMPUR: Banjir terus menjadi pemacu utama kerugian bencana alam di seluruh dunia dan mencatatkan 16 peratus daripada semua kerugian bahaya sekunder yang diinsuranskan sejak 2011 hingga 2020, kata ASEAN Insurance Pulse.

Selain itu, mulai 1990, banjir bertanggungjawab untuk lebih 45 peratus daripada jumlah kerugian bencana alam terkumpul iaitu sejumlah US$137 bilion (RM568 bilion) di sembilan negara ASEAN, di hadapan ribut dan gempa bumi.

Penemuan dalam edisi kelima ASEAN Insurance Pulse 2021 adalah berdasarkan kepada temu bual berstruktur dengan eksekutif yang mewakili 27 syarikat insurans (semula) serantau serta antarabangsa, pengantara, pembuat polisi dan persatuan perdagangan, kata Malaysia Reinsurance Bhd pada Selasa.

Seperti yang dinyatakan dalam penemuan utama ASEAN Insurance Pulse 2021, bahagian kerugian tidak diinsuranskan untuk jumlah kerugian ekonomi terus melebihi 90 peratus merangkumi ribut, banjir dan gempa bumi di negara-negara membangun di rantau tersebut.

"Malaysian Re berharap komuniti insurans ASEAN akan mendapat manfaat yang besar daripada ASEAN Insurance Pulse 2021," katanya dalam satu kenyataan pada pelancaran edisi kelima terbitan tahunan Thought Leadership, ASEAN Insurance Pulse, bersempena dengan Sidang Kemuncak Insurans ASEAN ke-4 yang diadakan secara maya di Singapura, semalam.

Ia telah dilancarkan oleh Setiausaha Agung Majlis Insurans ASEAN, Christian Wanandi dan Pengerusi Malaysian Re, George Oommen, disaksikan oleh Penolong Pengarah Urusan (Perbankan dan Insurans) Pihak Berkuasa Kewangan Singapura, Marcus Lim serta Timbalan Setiausaha Agung ASEAN untuk Komuniti Ekonomi ASEAN, Satvinder Singh.

Penerbitan tahun ini memberi tumpuan kepada risiko bencana alam dan banjir termasuk impaknya kepada ekonomi ASEAN dan pasaran insurans.

ASEAN Insurance Pulse 2021 meneroka arah aliran utama yang memacu pengurusan risiko kewangan bencana alam serta banjir di rantau berkenaan. Dalam konteks ini, laporan itu juga menyerlahkan peningkatan kepentingan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam pengunderaitan termasuk pengurusan aset penanggung insurans.

"Kami melihat peningkatan permintaan membabitkan perlindungan bencana alam di rantau ASEAN. Perubahan iklim memberi kesan kepada persepsi risiko orang ramai."

"Mereka semakin sedar bahawa corak cuaca semakin berubah; Paras laut naik, kekerapan banjir pantai meningkat dan musim tengkujuh nampaknya telah beralih. Walaupun aset boleh diinsuranskan telah bertambah, pelanggan juga mendapatkan perlindungan daripada bahaya semula jadi," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Re, Zainudin Ishak.

"Kami berharap rakan berkepentingan kami di ASEAN akan mendapati laporan tahun ini berharga ketika kami meneroka bencana alam dan banjir sebagai bahaya utama yang menyebabkan kemusnahan tertinggi di rantau ini", tambah Zainudin.

Dengan edisi kelima kali ini, Malaysian Re terus menunjukkan komitmennya dalam menyokong integrasi komuniti insurans ASEAN selain untuk menyediakan pasaran serantau dengan maklumat pasaran penting mengenai risiko bencana alam bagi membuat keputusan strategik.

-- BERNAMA