Skip to main content

Dunia

Banjir kilat Sungai Bhotekoshi: 17 rakyat Malaysia dilaporkan hilang di Nepal

Bhotekoshi Flash Flood  SITUATION UPDATE -2  Date: August 26, 2026  Preliminary Details of Missing Tourists
Jumlah warga Malaysia yang dilaporkan hilang susulan kejadian banjir kilat di kawasan Sungai Bhotekoshi di daerah Rasuwa, Nepal pada pagi Rabu kini meningkat kepada 17 orang, memetik pemakluman Lembaga Pelancongan Nepal (NTB).
Advertisement

RASUWA: Jumlah warga Malaysia yang dilaporkan hilang susulan kejadian banjir kilat di kawasan Sungai Bhotekoshi di daerah Rasuwa, Nepal pada pagi Rabu kini meningkat kepada 17 orang.

Perkembangan terbaharu itu disahkan menerusi kemas kini rasmi Lembaga Pelancongan Nepal (NTB), berbanding laporan awal oleh Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) sebelum ini yang memaklumkan seramai 11 rakyat Malaysia tidak dapat dikesan.

Menurut NTB, kesemua 17 rakyat Malaysia berkenaan merupakan sebahagian daripada kumpulan pengembara yang diuruskan oleh agensi pelancongan tempatan, Fishtail Tours & Travels.

Kumpulan tersebut merangkumi seramai 27 individu secara keseluruhan, termasuk tiga warga Amerika Syarikat dan tujuh warga tempatan Nepal.

Secara kumulatif, data awal yang diterima daripada 10 agensi pelancongan dan pengembaraan mencatatkan seramai 384 individu yang melibatkan 291 warga asing serta 93 warga Nepal kini dilaporkan hilang atau terputus hubungan di kawasan terjejas.

Kejadian banjir kilat yang berlaku secara mengejut sekitar jam 8.30 pagi waktu tempatan itu mencetuskan operasi pengesanan dan menyelamat berskala besar di sepanjang laluan sungai berkenaan.

NTB memaklumkan bahawa pihaknya kini giat bekerjasama rapat dengan Polis Pelancong, pasukan keselamatan, pihak berkuasa tempatan serta pemandu pelancong untuk mengesahkan status keselamatan dan lokasi sebenar kesemua mangsa.

Pihak berkuasa Nepal turut menggesa para pelancong di kawasan sekitar agar kekal tenang, mematuhi arahan keselamatan rasmi, dan menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak berkuasa keselamatan terdekat.

Must Watch Video

Advertisement