DUNIA
Banjir Pakistan: 4.2 juta orang di Punjab terjejas, kerosakan meluas

Kira-kira 2.8 juta orang kehilangan tempat tinggal, kira-kira 161,700 rumah rosak, dan infrastruktur kesihatan serta pendidikan mengalami kerosakan teruk. - AP
ISLAMABAD: Lebih 4.2 juta orang terjejas akibat banjir monsun di Wilayah Punjab, Pakistan, dengan beberapa daerah di selatan paling teruk terkesan, menurut penilaian keperluan segera yang dikeluarkan pada Jumaat oleh Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNOCHA), lapor Xinhua.
Kajian yang dijalankan bersama dengan kerajaan wilayah bermula 8 hingga 18 September, melibatkan hampir 2,000 kampung di 18 daerah yang terjejas banjir.
Penilaian mendapati kira-kira 2.8 juta orang kehilangan tempat tinggal, kira-kira 161,700 rumah rosak, dan infrastruktur kesihatan serta pendidikan mengalami kerosakan teruk.
Menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan Pakistan, kira-kira tiga juta orang diselamatkan atau dipindahkan antara 26 Jun dan 19 September di seluruh negara. Banjir turut merosakkan 12,559 rumah dan menyebabkan 6,509 haiwan ternakan mati.Perdana Menteri Shehbaz Sharif sebelum ini mengumumkan peningkatan jumlah pampasan ex gratia kepada keluarga mangsa yang kehilangan nyawa akibat banjir, iaitu daripada satu juta rupee kepada dua juta rupee (kira-kira US$7,000).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami