DUNIA

Banjir Sumatera: 'Aceh umpama dilanda tsunami' – Pensyarah UIN

Seth Akmal 02/12/2025 | 08:15 MYT
Seorang penduduk berdiri berhampiran serpihan sambil memeriksa kawasan yang dilanda banjir kilat terburuk akibat hujan lebat di Pidie Jaya, Aceh, Indonesia pada 19 November 2025. - Foto Reuters
KUALA LUMPUR: “Seperti dilanda tsunami,” ungkap Pensyarah Universiti Islam Negeri Ar-Raniry, Profesor Teuku Meurdani Syam berkenaan bencana banjir yang melanda wilayah Aceh sejak hujan lebat pada 18 November lalu.


Ringkasan AI
  • 173 orang dilaporkan terbunuh, 204 hilang, dan 500 ribu orang dipindahkan berikutan banjir di Aceh sejak 18 November lalu, menimbulkan keadaan "tsunami" dengan banyak kehilangan rumah.
  • Warga Aceh memerlukan bantuan air bersih, ubat, dan peralatan sanitasi, manakala beberapa kawasan terputus hubungan dan ribuan mangsa memerlukan bantuan perubatan dan makanan.
  • Usaha sedang dijalankan untuk menyambung semula akses jalan yang terputus serta bantuan sedang disalurkan melalui udara dan laut bagi menangani krisis banjir di Aceh.


Berdasarkan Laporan Pemantauan Data Pengurusan Bencana Alam Hidrometeorologi Aceh semalam menunjukkan jumlah kematian mencecah 173 orang, 204 lagi masih hilang, manakala jumlah mangsa yang dipindahkan mencecah 500,000 orang.

“Kebanyakan mereka kehilangan rumah akibat (paras air) banjir yang sangat tinggi, ramai yang mengatakan bahawa keadaan kali ini seumpama “tsunami” bagi wilayah Aceh,” katanya ketika wawancara bersama Astro AWANI hari ini.

Perkembangan pasca bencana banjir di Aceh


Kini kota serambi Mekah itu menuntut perhatian serius di peringkat global apabila beberapa daerah telah terputus hubungan dan memberi kesan kepada ribuan mangsa yang menantikan bantuan seperti perubatan, makanan dan barangan asas.

“Warga Aceh sangat memerlukan bantuan seperti air bersih, ubat dan peralatan sanitasi untuk golongan wanita dan kanak-kanak,” katanya.

Keadaan di Aceh juga katanya masih tidak stabil dengan beberapa kawasan terputus hubungan akibat jambatan runtuh, manakala banjir melanda 16 daerah, paling kritikal di Aceh Timur, Tamiang dan Aceh Utara.

Menurut Meurdani, cuaca sejak empat hari lalu semakin pulih namun akses jalan darat sangat terhad, dan bantuan kini disalurkan melalui udara serta laut, termasuk kapal logistik ke Lhokseumawe dan Aceh Timur.

“Sebagai tindak balas kecemasan, usaha sedang dilakukan untuk mencari penyelesaian bagi menyambung semula akses jalan supaya bantuan dapat disalurkan dengan mudah, khususnya dalam menyambungkan jambatan,” katanya.

Malah beliau difahamkan Tentera Negara Indonesia (TNI) kini sedang berusaha untuk membina jambatan darurat bagi menyambung semula perhubungan antara daerah di Aceh.

Tambah beliau ratusan pos pusat penyelarasan operasi ketika berlaku bencana atau POSKO (Pos Komando) ditubuhkan untuk menyelaras bantuan dari Banda Aceh ke beberapa daerah.

Beliau turut menggesa kerajaan pusat mengisytiharkan Darurat Bencana Nasional kerana Aceh Sumatera Utara dan Sumatera Barat tidak mampu menangani banjir kerana kekangan kewangan sendiri.

“Cadangan untuk (isytihar) bencana nasional itu penting kerana akan memobilisasi pelbagai bantuan dan bajet agar krisis bencana ini dapat ditangani dengan efektif,” katanya lagi.

Pada 27 November, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto berkata akan memantau rapat keadaan bencana ini dan beliau masih belum mengisytiharkan krisis yang berlaku sebagai darurat nasional.

Untuk rekod, bencana Tsunami yang melanda Aceh pada 2005 memakan korban hampir 230,000 nyawa dan seramai 500,000 kehilangan tempat tinggal.









#Astro Awani #banjir #Indonesia #Aceh