DUNIA

Banjir Sumatera: Angka korban cecah 712 orang, penerokaan tanah besar-besaran disalahkan

Astro Awani 02/12/2025 | 23:10 MYT
Nilai kerosakan dianggarkan mencecah Rp68.67 trilion (RM17.07 bilion), melibatkan rumah, infrastruktur, hasil pertanian, dan pendapatan isi rumah. - Foto REUTERS
JAKARTA: Angka korban akibat banjir besar dan tanah runtuh yang melanda tiga wilayah utama di Sumatera meningkat kepada 712 orang, menurut Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) pada Selasa petang.


Ringkasan AI
  • Banjir besar dan tanah runtuh di Aceh, Sumatera Utara, dan Sumatera Barat meragut 712 nyawa, dengan 507 orang masih hilang dan lebih 3.3 juta penduduk terjejas.
  • Nilai kerosakan dianggarkan mencecah Rp68.67 trilion (RM17.07 bilion), melibatkan rumah, infrastruktur, hasil pertanian, dan pendapatan isi rumah.
  • Walhi menyatakan bencana diperburuk oleh kehilangan 1.4 juta hektar hutan akibat aktiviti komersial berskala besar sejak 2016, menjadikan ekosistem semakin rapuh.


Bencana yang melanda Aceh, Sumatera Utara (Sumut), dan Sumatera Barat (Sumbar) itu turut menyebabkan 507 orang masih hilang, manakala lebih 2,500 orang cedera dan 3.3 juta penduduk terjejas.

Mengikut pecahan wilayah, Aceh mencatat 218 kematian, diikuti Sumut dengan 301 orang, dan Sumbar seramai 193 orang.

Banjir dan tanah runtuh turut merosakkan ribuan rumah di lebih 50 daerah dan kota, menjadikan ini antara bencana paling dahsyat dalam dekad ini.

Kerugian ekonomi dianggarkan mencecah Rp68.67 trilion (RM17.07 bilion), menurut Center of Economic and Law Studies (Celios), meliputi kerosakan rumah, jembatan, jalan, kehilangan hasil sawah, dan pendapatan isi rumah.

Sementara itu, Wahana Lingkungan Hidup Indonesia (Walhi) menegaskan bahawa bencana ini bukan semata-mata berpunca daripada cuaca ekstrem, tetapi akibat penerokaan tanah secara besar-besaran sejak 2016.

Analisis mereka mendapati lebih 1.4 juta hektar hutan telah hilang di ketiga-tiga provinsi, dengan 631 lesen operasi komersial dikeluarkan kepada syarikat dalam sektor perlombongan, perladangan sawit, pembalakan, dan tenaga.

“Curah hujan hanyalah pemicu. Tapi kondisi ekologis kita sudah sangat rentan akibat eksploitasi lahan,” kata Pengurus Kampanye Hutan dan Kebun Walhi Nasional, Uli Arta Siagian.

Pihak berkuasa kini berdepan cabaran besar untuk memulihkan infrastruktur, mencari mangsa hilang, dan menyalurkan bantuan ke kawasan yang masih terputus hubungan.







#banjir #tanah runtuh #angka korban #aktiviti komersial